Friday, October 5, 2012
Jom Kayuhan Mengeteh ke Kafe Ipoh Station
Esok (Sabtu, 6 Oktober 2012) akan diadakan satu sesi kecil kayuhan berbasikal klasik. Tempat berkumpul dan permulaan kayuhan adalah dari Dataran Tasik (berhampiran masjid terapung), Puchong Perdana. Destinasi yang dituju pula adalah Restoran Ipoh Station, Bukit Puchong. Sekadar bersenam dan beriadah di waktu petang dengan sahabat-sahabat pencinta basikal klasik di sekitar taman. Secara tidak langsung menperluaskan lagi keperihatinan masyarakat setempat tentang kerancakkan berbasikal klasik. Maka nantikan laporan tidak rasmi dari teman setelah usainya aktiviti ini. Tungggguuuuu.
Wednesday, October 3, 2012
Tempat Duduk Basikal Tua Dari India
Pengisian artikel pertama di bulan Oktober ini teman ingin kisahkan tentang penggantian kepada tempat duduk basikal tua yang baru. Diperolehi menerusi pembelian di laman internet seperti biasa. Tempat duduk ini telah lama teman idamkan kerana ia mempunyai besi lingkaran spring yang besar. Bahkan yang terbesar diantara semua jenis tempat duduk basikal tua yang ada di pasaran. Diperbuat khas dari negara India. Begitu padan serta tampak gah apabila dipasangkan pada basikal tua teman yang sememangnya besar bersaiz 28. Tempat duduk yang lama pun teman sudah jual pada rakan seperjuangan. Lepas ni boleh kayuh lebih jauh lagi memandangkan ada penambahan dari segi keselesaan.
Thursday, September 27, 2012
Selamat Berkayuh Di Musim Hujan
Cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ni (September - Oktober 2012). Daripada pengamatan teman, musim hujan atau tengkujuh telah membuka tirainya dan mungkin berlarutan hingga ke akhir tahun. Hari ni dan semalam pun mencurah-curah air dari langit turun membasahi muka bumi di sekitar lembah klang. Sejuk dan nyaman dibuatnya.
Oleh itu artikel pada kali ni teman hanya ingin menyampaikan pesanan ringkas sahaja. Kepada para pengayuh basikal, yang tegar, yang aktif, tidak kira apa jua jenis basikal, berhati-hatilah semasa berbasikal dimusim tengkujuh hingga ke akhir tahun ini. Maklumlah jalan licin lagi basah, berlecak mahupun bertakung boleh membawa pelbagai risiko kepada para pengayuh. Semestinya kita jarang atau tidak sama sekali berbasikal semasa hujan. Hanya berwaspada, cermat dan lebih berjaga-jagalah apabila berbasikal dalam keadaan selepas hujan.
Semoga memberi peringatan buat diri teman dan para pembaca sekalian. Cuaca mungkin bukan halangan utama untuk aktiviti berbasikal jika kita bijak mengenalpasti keadaan dan menguruskan situasi dengan cekap. Selamat berkayuh.
Friday, September 21, 2012
Plat Nombor Lesen Basikal Tua
Sekadar berkongsi cerita dan mengemaskini blog. Sebelum berlangsungnya acara himpunan basikal tua terbesar MBoR di Melaka pada 16 September 2012 yang lalu, teman masih ada menerima beberapa barang aksesori basikal tua yang dibeli dari beberapa rangkaian pengiklanan di laman web. Semua aksesori tersebut juga bertujuan untuk menggilap dan melengkapkan lagi kesempurnaan basikal teman sempena acara MBoR yang lalu.
Teman telah terima satu lagi bungkusan yang seperti biasa datang jauh dari negara England. Agak sukar dan susah juga untuk dapatkan barang tersebut kerana ramai dari pelusuk negara yang inginkannya juga. Maka terpaksalah barang tersebut dibida. Alhamdulillah, rezeki teman untuk memperolehinya kerana berjaya mendapat bidaan yang tertinggi pada saat terakhir.
Maka inilah aksesori tersebut iaitu merupakan tag plat lesen basikal yang tertera perkataan "Bicycle Garden City 6669". Bukan setakat plat lesen itu yang teman inginkan, malah menyangkut klipnya juga merupakan barang yang diburui ramai peminat tegar basikal tua kerana kesukaran untuk mendapatkannya. Malah boleh dikatakan hampir tiada dijual di mana-mana ceruk pasaran. Platnya pun teman dah pasangkan di bahagian hadapan basikal seperti yang terdapat pada gambar di atas. Lepas ni nak bawa siar-siar di kawasan taman perumahan pula. Hingga kita bersua lagi.
Wednesday, September 19, 2012
Pengalaman Menyertai Himpunan MBoR: Bahagian 2
Sambungan dari artikel sebelumnya. Para pembaca yang pertama kali datang, sila baca bahagian satu untuk kelangsungan cerita yang berturutan. Terima kasih.
Semasa berbaris untuk pendaftaran, diwaktu inilah teman berkenalan dengan sahabat pertama iaitu saudara abang Najib (atau lebih dikenali dalam fb ken watanabe). Dari jauh memang nampak segak berpakaian serba putih ala pengiring Perdana Menteri diawal zaman kemerdekaan. Bahkan gambarnya memang dipaparkan dalam akhbar keesokkan harinya. Tahniah.
Teman telah mendapat no pendaftaran 381. Ramai kenalan baru pencinta-pencinta basikal tua dipertemukan yang datang jauh dari pelbagai negeri. Pelbagai citarasa busana diperagamkan oleh peserta-peserta bagi menggamitkan lagi kemeriahan acara. Ada yang berpakaian tradisional, ada yang berpakaian unit berunifom tentera dan macam-macam lagi bersesuaian dengan tema kemerdekaan. Perkongsian pengalaman dan cerita-cerita serba serbi tentang basikal tua turut dikongsikan bersama.
Perasmian telah berlangsung dengan ucapan kata-kata aluwan oleh para tetamu yang terhormat. Maka secara tidak langsung tercatitlah sejarah didalam Malaysia Book of Records perhimpunnan terbesar basikal tua dan klasik yang pernah diadakan di tanah air kita. Kemudian disusuli pula dengan pelepasan acara kayuhan yang ditunggu-tunggu oleh kesemua para peserta. Laluan kayuhan adalah mengelilingi sekitar kawasan MITC. Memang meriah dan teramat seronok. Kayuhan beramai-ramai secara santai, cuaca yang mendung tidak panas, orang awam pegun memerhatikan sambil menangkap gambar. Jakun juga teman dibuatnya hinggakan kalau boleh nak saja teman tawaf MITC tu lagi dua kali..
Usai sudah kayuhan, makanan pun diberikan maka kami semua bersantai rehat sambil dihidangkan dengan beberapa acara pentas. Akhir sekali acara penyampaian pelbagai anugerah diadakan. Selesai sahaja maghrib, pergi ke parkir kereta teman, leraikan bahagian basikal sekadar untuk dimuatkan ke dalam kerata, teman pun berangkat pulang ke rumah. Walaupun badan sedikit penat, tapi hati, jiwa dan sanubari berasa puas riang gembira.
Inilah pertama kali teman menceburi aktiviti berbasikal tua. Tiada apa boleh teman gambarkan melainkan kenagan manis belaka. Syabas kepada para penganjur yang telah menjayakan acara ni sama ada terlibat secara langsung atau tidak. Tahniah juga diucapkan kepada semua para peserta yang hadir. Harapan teman agar acara seperti ini atau sewaktu dengannya dapat diadakan lagi secara berkala, berkonsisten serta berpanjangan. Semoga basikal tua, antik atau klasik sentiasa dilestarikan sepanjang hayat.
Sekian laporan secara tidak rasmi dari teman. Moga berjumpa lagi.
Subscribe to:
Posts (Atom)







