Saturday, July 29, 2017
Dua Pokok Sakat Tambahan
Masih ingat tentang perkongsian pokok bird fern nest dari artikel ini Pokok Gelaran Mistik? Telah saya khabarkan pada artikel tersebut bahawasanya saya bercadang untuk membeli beberapa pokok fern nest lagi sebagai tambahan yang sedia ada. Dengan berbekalkan wang saku RM25.00 sudah memadai untuk saya mendapatkan sepasang pokok ini di nurseri yang biasa saya kunjungi seperti dalam artikel ini Nurseri Pilihan. Harga asalnya ialah rm15 sepasu. Jika ambil dua, saya ditawarkan dengan harga rm13 sepasu. Dan oleh kerana saya pelanggan tetap di nurseri tersebut, jumlah sepasang pokok ini setelah saya mohon untuk ditawarkan lagi adalah rm25 sahaja sepasang pasu. Memang berbaloi kerana pokok yang saya dapatkan itu sudah dikira besar dan pertengahan matang.
Selain itu ia juga amat murah kerana perlu diingat saya membelinya dalam keadaan yang ditanam dalam pasu dan bukan dalam polybag. Kalau ikutkan harga pasu kosong itu saja sudah boleh mencapai RM12 sepasu. Ok buat masa ni pokok-pokok tersebut akan direhatkan untuk bersuai kenal dengan persekitaran rumah. In shaa Allah esok lusa akan saya semai dan tanamnya. Saya sudah fikirkan untuk menanamnya dengan cara berbeza. Pendekatannya sedikit unik dari yang sebelum ini. Nantikan.
Wednesday, July 26, 2017
Sketsa Dialog Jenaka Dengan Ayam
Suatu petang yang terik, al kisah kedengaran perbualan antara dua makhluk tersebut.
Ayam : Kau ni memang pentingkan diri sendiri!
Aku : Pulak dah. Kau ni tengah datang period ke? Kenapa kau tiba-tiba kata macam tu?
Ayam : Tengoklah. Apa kau buat kat aku!
Aku : Hah! Buat apa pulak?
Ayam : Aku ni bertelur hari-hari. Aku cadang naklah dapat anak dua tiga ekor. Orang kata ada juga waris aku bila aku dah takde nanti. Nak juga merasa tampal gambar famili aku kat dalam dinding reban aku ni. Tapi asal aku bertelur je kau ambil dan makan telur aku. Macamana aku nak dapat anak!
Aku : Ooo gitu rupanya. Kau punya nasib kira untung lagi tau.
Ayam : Maksud kau?
Aku : Cuba kau fikirkan nasib lembu tu, lagi malang. Rasa nak bunuh diri pun ada. Bayangkan, hari-hari manusia minum susu dia tapi sorang pun tak pernah mengaku, panggil atau gelarkan dia MAK!
Ayam : Hmmmm. Ye tak ye juga.
Maka hari pun berlalu dengan damainya seperti biasa. Sekian.
Ayam : Kau ni memang pentingkan diri sendiri!
Aku : Pulak dah. Kau ni tengah datang period ke? Kenapa kau tiba-tiba kata macam tu?
Ayam : Tengoklah. Apa kau buat kat aku!
Aku : Hah! Buat apa pulak?
Ayam : Aku ni bertelur hari-hari. Aku cadang naklah dapat anak dua tiga ekor. Orang kata ada juga waris aku bila aku dah takde nanti. Nak juga merasa tampal gambar famili aku kat dalam dinding reban aku ni. Tapi asal aku bertelur je kau ambil dan makan telur aku. Macamana aku nak dapat anak!
Aku : Ooo gitu rupanya. Kau punya nasib kira untung lagi tau.
Ayam : Maksud kau?
Aku : Cuba kau fikirkan nasib lembu tu, lagi malang. Rasa nak bunuh diri pun ada. Bayangkan, hari-hari manusia minum susu dia tapi sorang pun tak pernah mengaku, panggil atau gelarkan dia MAK!
Ayam : Hmmmm. Ye tak ye juga.
Maka hari pun berlalu dengan damainya seperti biasa. Sekian.
Thursday, July 20, 2017
Pokok Misai Kucing
Ini merupakan pokok misai kucing. Amat mudah dikesan dek kerana bunganya secara umum berwarna putih melepak. Kenapa ia diberi gelaran nama misai kucing? Lihat saja bentuk bunganya yang hampir mirip seperti misai kucing peliharaan. Banyak maklumat dikongsikan tentang perihal tanaman ini. Rupa-rupanya pokok misai kucing ini dianugerahkan dengan pelbagai khasiat serta kebaikan kepada tubuh badan manusia. Kemasyhuran pokok ini terletak kepada khafiatnya yang mampu merawat menyakit darah tinggi dan kencing manis.
Banyak kajian sudah dilakukan dan rata-rata hasil penyelidikan terhadap kemujaraban pokok ini telah pun diperakui oleh para ahli saintis di serata dunia. Begitulah kekuasaan Allah yang maha adil. Pada setiap penyakit yang diturunkan pasti akan ditimbal balik dengan ubatnya. Dan siapa sangka kita diberi kemudahan untuk memperoleh sesuatu penawar itu hanya dengan berbakti kepada tanah di sekitar halaman rumah kita sahaja.
Sunday, July 16, 2017
Pokok Kelapa
Pokok kelapa sememangnya sinonim dan berkait rapat dengan komuniti masyarakat melayu khususnya yang menetap di kawasan pedalaman. Kenyataan ini tiada keraguannya memandangkan pokok kelapa itu sendiri dapat mendatangkan seribu satu macam manfaat kepada kita semua. Manfaat tersebut datang dari pelbagai sumber seperti batangnya, daunnya, buahnya, semuanya dapat diambil manfaat kepada pelbagai kegunaan baik dari segi pemakanan, ubatan, kraftangan hinggalah kepada pembuatan bahan binaan. Dengan segudang manfaat yang telah dikurniakan kepada pokok kelapa, tidak mungkin kita ingin melepaskan peluang untuk menjadikan pokok kelapa ini sebagai salah satu hasil tanaman lanskap kediaman kita.
Inilah satu-satunya pokok kelapa yang telah saya tanam di halaman rumah sejak tujuh tahun lepas. Ketinggian pokok kelapa ini sewaktu ditanam dahulu hanya separas dada saya sahaja. Amat pantas masa berlalu. Terasa seolah-olah baru bulan lepas sahaja pokok ini ditanam. Sedar tak sedar ketinggiannya sekarang telah menjangkau lebih dari empat meter. Jika dulu pokok ini menumpang teduh di sudut penjuru atap rumah, kini rimbunan pohon dedaunnya pula dapat menaung sesiapa sahaja yang ingin menumpang teduh dari sinaran mentari. Buahnya pun sudah mulai tumbuh dan berkembang mekar. Tidak sabar nak merasa hasilnya yang pertama nanti.
Friday, July 14, 2017
Pokok Dengan Pelbagai Gelaran Mistik
Daunnya lebar. Mudah tumbuh dan mempunyai ciri tumbesaran yang boleh dikatakan agak singkat. Penjagaannya mudah dan tidak perlu banyak penyelenggaraan. Harga di pasaran pun dalam kategori murah berbanding tanaman lain. Maka disebabkan beberapa faktor inilah yang mendorongkan saya untuk membeli tanaman ini. Dari hasil kajian yang dilakukan, inilah satu-satunya tanaman yang mempunyai pelbagai gelaran serta jolokan nama. Saya mulakan dengan nama saintifiknya dahulu iaitu Asplenium Nidus. Manakala dalam bahasa Inggeris pula dikenali sebagai bird nest fern. Sekarang tibanya saya kongsikan gelaran namanya dalam bahasa Melayu yang agak bombastik dan mungkin mengejutkan kalian. Dalam masyarakat melayu Nusantara, tanaman ini diberikan dengan beberapa gelaran antaranya ialah pokok paku langsuir, pokok paku pontianak, pokok sakat dan juga pokok tangisan malam. Kepada mereka yang baru pertama kali mengetahui namanya, ternyata bukan anda sorang yang mengerut dahi sambil menggaru kepala. Saya pun kehairanan sambil terpinga-pinga bilamana memperoleh maklumat ini dan rata-rata kesemua sumber yang diselidiki memberikan jolokan nama yang sama.
Alasan yang diberikan adalah kerana pokok atau tanaman ini dikatakan menjadi tarikan kepada makhluk jin untuk bersarang, berteduh, menumpang tinggal dan sewaktu dengannya. Tidak dinafikan makhluk jin itu benar dan wujud seperi termaktub dalam al Quran. Jika betul pokok ini menjadi kegemaran makhluk jin untuk bertempat, pada pandangan saya tak perlulah melabelkannya dengan pelbagai jolokan nama seperti langsuir dan pontianak. Kalau nak lebalkan sangat pun berikan sahaja dengan satu nama sahaja yang umum misalannya pokok tumpangan jinn (paling tidak). Kerana nama-nama seperti langsuir, penanggal, pontianak, toyol, hantu raya, hantu galah semua tu hakikatnya adalah dari golongan sebangsa jinn sahaja. Gelaran-gelaran tersebut hanya merupakan manifestasi makhluk tersebut terhadap apa yang selama ini kita geruni, percaya, dan takjub. Oleh itu tak perlulah kita mewar-warkan sesuatu tanaman itu dengan jolokan yang memberikan impak negetif. Yang ruginya kita. Yang untungnya mahluk tersebut kerana kesan ketakutan kita membuatkan mereka lagi gah dan bangga. Landasannya, alam mereka dengan alam mereka dan fitrah kita dengan fitrah kita. Kepada Allah jua lah kita takut dan bertakwa serta mengharapkan segalanya. Begitulah al kisahnya dan tiadalah saya alim dalam perihal ini melainkan sekadar melontarkan pendapat dua sen sahaja.
Maka kesudahannya, walau apapun gelaran yang diberikan, pokok ini telah selamat ditanam dengan jayanya di sekitar halaman rumah saya. Kesemuanya berjumlah tiga pokok dan mungkin dalam masa terdekat nanti akan ditambah lagi dua pokok. In shaa Allah.
Monday, July 10, 2017
Nurseri Pilihan
Ini merupakan salah satu kedai yang sering saya kunjungi untuk membeli-belah barangan lanskap. Lokasinya terletak berdekatan dengan kilang Hicom di seksyen 26, Shah Alam. Saya sering ke nurseri ini kerana ia merupakan nurseri yang paling hampir dengan rumah saya. Jadi amat mudah dan menjimatkan kos pengangkutan. Selain itu harga jualannya pun agak berpatutan bahkan boleh ditawarkan lagi sekiranya anda merupakan pelanggan tetap di situ. Pelbagai hasil tanaman disediakan baik dari segi pokok-pokoknya, tanaman bunga, rumput, pasu, baja hinggalah kepada peralatan dan perkakasan yang berkaitan dengan tanaman. Nurseri ini juga menawarkan khidmat penyelenggaraan lanskap yang berkala untuk laman rumah. Kepada mereka yang tinggal berdekatan, bolehlah singgah ke nurseri ini yang senantisa menantikan kunjungan anda setiap hari, tujuh hari seminggu.
Wednesday, July 5, 2017
Plan Pengolahan Lanskap Halaman Rumah
Suatu hari disebelah petang yang agak panas. Sambil duduk beristirehat di ruang halaman luar rumah. Melihatkan hasil tanaman, membuatkan hati ini terdetik untuk melakukan sedikit pengolahan terhadap taman halaman rumah yang sedia ada. Keluasan tanah tidaklah sebesar mana. Cukup sekadar ingin mengusahakan kira-kira
separuh saiz keluasan tennis court. Tanaman yang tersedia ada ni pun
kebanyakkannya sudah hampir menjangkau enam tahun. Setelah melakukan sedikit lakaran kasar, maka perancangan untuk mengolah lanskap tanaman rumah akan dilaksanakan dalam waktu terdekat ini.
Subscribe to:
Posts (Atom)