Wednesday, August 17, 2016
Hasil Terakhir Reban Ayam
Mekar kuning daunnya begitu indah pesona,
Itulah ia pokok kelapa seribu satu guna,
Yang dinantikan kini sudah siap terbina,
Itulah ia reban ayam bagai mahligai istana.
Ayam kampung ayam hutan,
Disumbat belaka ke dalam reban,
Jangan jemu jangan segan,
Selalulah lawati blog Riwayat Budiman.
Wednesday, August 10, 2016
Pelan dan Draf Reban Ayam
Setelah menjalankan beberapa kajian dan bacaan tentang asas-asas menyediakan reban ayam, maka sudah tiba saatnya untuk saya merekacipa dan membina sebuah reban ayam yang menepati keadaan persekitaran rumah. Corak, jenis bahan, rekabentuk dan saiznya pun sudah saya kenal pasti. Berikut adalah draf pelan secara kasar akan reban yang ingin saya binakan itu.
Setelah melakar, mengukur dan menstrukturkan pelan, barulah jumlah atau kuantiti bahan-bahan asas binaan dapat dikenalpastikan. Moto reban ayam saya adalah selamat dan mesra pengguna. |
Mungkin agak mustahil untuk saya melakukan segala kerja tukang secara bersendirian. Oleh itu saya telah dapatkan bantuan dari seorang sahabat (abang Zin) yang mahir dalam bidang jurutera binaan. Melalui sahabat saya inilah segala sumber bahan binaan boleh didapati dengan kadar harga rendah berbanding pasaran semasa. Mudah-mudahan dalam beberapa hari lagi akan terbinalah sebuah teratak kecil yang bercirikan moden kontemporari. Bunyinya gah. Nantikan saja hasilnya kurang dari 48 jam dari sekarang.
Monday, August 8, 2016
Operasi Mencari
Suasana di pagi hari begitu nyaman sekali. Tiupan angin sepoi-sepoi bahasa membuatkan daun-daun pada pokok cempedak di halaman rumah melentuk-liuk. Lantas daun-daun kering dan tua pula berguguran jatuh ke tanah. Kini sudah hampir dua minggu saya menimba pengalaman menternak ayam. Sedang asyik memperhatikan persekitaran halaman rumah, baru saya perasaan yang ayam serama kecil tiada dalam skop pandangan mata saya. Hanya ayam hutan sahaja yang kelihatan. Kebiasaannya ayam serama itu akan hanya berlegar di bawah pokok cempadak di dalam perkarangan pagar rumah. Skop pandangan saya diperluaskan ke kawasan jiran dan luar rumah. Masih tidak kelihatan. Barangkali bersiar-siar menjenguk kawasan pedalaman.
Hinggalah menjangkau ke sebelah petangnya pula. Matahari sudah bersiap sedia untuk melabuhkan tirai cahayanya. Jam pada tangan menunjukkan ada baki lapan belas minit lagi sebelum berkumandangnya azan maghrib. Kelibat ayam jantan serama itu masih tidak kelihatan. Maka misi mencari pun dilaksanakan. Lantas sambil menaiki basikal klasik, saya memperluaskan skop carian dengan mengayuh basikal di sekitar kawasan perumahan dan padang permainan. Setelah puas mencari dan merayau, keputusannya amat mendukacitakan kerana ayam tersebut tidak berjaya ditemui dan tiada sebarang kesan. Mungkinkah ayam itu telah sesat? Dimakan binatang lain atau diambil oleh orang? Wallahu a'lam. Allah saja yang maha mengetahui.
Sejenak memikirkan. Sudah tiba masanya saya merencanakan sebuah reban ayam yang bersesuaian dengan keadaan dan saiz halaman rumah. Buat masa ni yang tersedia ada pun hanya menggunakan sangkar kucing bersaiz sederhana besar sahaja. Oleh itu sedikit kajian dan penyelidikan harus dilaksanakan. Sekurang-kurangnya saya harus dapatkan pengetahuan asas dalam membina sebuah reban ayam yang mesra pengguna. Hanya tinggal beberapa minit lagi sebelum masuknya waktu maghrib. Misi pencarian telah pun saya tamatkan operasinya dengan harapan ayam yang hilang itu akan muncul kembali di hari mendatang. Mudah-mudahan.
Tuesday, August 2, 2016
Pengenalan Kepada Haiwan Peliharaan dan Ternakan
Nukilan ini merupakan pengisian yang pertama dalam memenuhi topik bagi kategori "Ternakan dan Tanaman". Disini saya ingin berkongsikan tentang haiwan-haiwan ternakan dan peliharaan saya. Ia merupakan hobi sampingan yang baru berputik semenjak awal bulan Syawal lalu. Memperkenalkan haiwan ternakan dan peliharaan saya yang terkini
Seekor kucing betina |
Dua ekor ayam. Ayam jantan besar itu adalah jenis ayam hutan dan yang kecil itu ayam jantan serama. Sepatutnya ada seekor ayam betina kecil tetapi telah mati di hari ketiga belaan. |
Al kisah tentang kuching itu. Pada awalnya saya tiada niat untuk memelihara kucing tersebut. Ia berlaku secara kebetulan bilamana kucing ini sentiasa beristirehat di kaki lima tempat saya bekerja. Dari hari ke sehari kucing ini tidak beredar. Setiap kali saya terserempak dengannya pasti ia ingin mengekori saya dan cuba menggesel-geselkan kepalanya kepada kaki saya. Tampak begitu manja. Barangkali ia sejenis kucing peliharaan yang pernah dibela oleh tuannya. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk membawanya pulang ke rumah setelah selang beberapa hari ia masih tidak berganjak dengan kondisinya yang semakin merosot. Alhamdulillah sekarang kembali sihat, ceria dan begitu ligat bermain seperti paparan gambar di atas.
Mengenai ayam ini pula. Ternyata memang saya berhajat untuk cuba memelihara ayam sebagai hobi sampingan. Sepertinya saya ingin mewujudkan suatu persekitaran yang dapat mendampingkan ingatan kepada suasana kampung. Mungkin juga dengan menternak ayam ini dapat mendidik saya untuk menjadi seorang penternak sambilan yang terlatih disamping mampu meredakan suasana hiruk-pikuk pada hari-hari yang dilalui di tengah bandar metropolitan ini. Pastinya bunyi ayam berkokok, penampilannya yang menarik perhatian dan kelagatnya yang seronok dilihat dengan aksi-aksi spontan seperti terbang ke dahan pokok yang tinggi sedikit sebanyak dapat mendamaikan sanubari seorang pencinta alam semulajadi ini. Iya benar. Tidak seperti ayam peliharaan biasa, ayam hutan mampu dan boleh terbang mengikut kapasiti umurnya. Maka atas dasar inilah saya mengambil inisiatif untuk membeli beberapa jenis ayam seperti paparan gambar di atas melalui iklan-iklan yang mudah didapati dari sumber carian internet. Apa yang menariknya adalah salah satu daripada ayam yang dibeli itu merupakan sejenis ayam hutan.
Oleh itu bermulalah satu lagi episod baru dalam riwayat hidup saya ini. Bertautan hubungan dengan haiyawan dan alam semulajadi kerana Allah.

Subscribe to:
Posts (Atom)