Thursday, April 9, 2015

Antara Nak Dan Tak Nak



Janggal rasanya. Tidak tahu bagaimana nak mulakan. Sekian lama. Hakikatnya rasa puas jika dapat diluahkan melalui penulisan tapi segan pula untuk dijadikan tatapan bacaan umum. Semoga situasi menang-menang dapat dicapai iaitu dengan harapan tiada ramai yang minat untuk membacanya walaupun telah dipaparkan. Sesungguhnya begitu teliti dan penuh hikmah akan percaturan Allah terhadap hamba-hambanya. Hanyasanya diri ini saja yang tidak mengerti untuk bersyukur dan mengaut kenikmatan yang ditawarkan. Kenapa kita perlu langkah ke lurah gaung sedangkan sebentang jambatan yang kukuh lagi indah telah tersedia untuk diseberangi? Aduhai diri ini yang tidak mahu mengambil inisiatif. Ibarat daging liat. Pernah makan daging liat? Dikunyah-kunyah. Dikumat-kamit. Hingga lenguh otot-otot mulut dibuatnya. Nak telan takut tercekik. Alih-alih dikeluarkan semula dari mulut. Begitulah liatnya hati ini untuk merebut peluang yang telah pun dijejaki tetapi tidak mahu menyerlah lalu mensia-siakan begitu sahaja. Kadang-kadang tu penat. Bukan kadang-kadang penat. Tapi sudah setiap detik itu langsung terus rebah tersungkur dek kalah berjihad melawan dogaan iblis, syaitan dan sekutu-kutunya.


Telah Allah ketemukan daku dengan dua insan yang cukup teristimewa buat diriku. Insan-insan yang daku begitu sanjungi. Kesanjungan yang diberikan bukan gah dari skop kebendeaan atau materialistik. Akan tetapi sifat ketabahan, kecekalan mereka dalam menerima dan mengharungi ujian yang Allah kurniakan kepada mereka. Itulah membuatkan daku begitu terpegun dan terpanggu. Menyedarkan diri. Menginsafkan diri yang selama ini dibuai oleh lembayung zon selesa. Bukan calang-calang dugaan serta ujian yang Allah aturkan. Sejujurnya daku awal-awal lagi mengibar dan melambai kain putih tanda menyerlah kalah dan ketidaksanggupan memikul beban ujian yang mereka berdua lalui. Allah maha mengetahui akan hikmahnya. Ketahuilah wahai Abang Darwish dan Saiful. Besar kemungkinan peluang untuk kalian membaca luahan ini amat tipis kerana kalian mungkin tidak arif akan wujudnya blog ini. Ketahuilah, Allah amat menyayangi dan mengasihani kalian berdua. Kerana dengan ujian-ujian tersebut, kalian dibentengi dari kelekaan, kelalaian dan bermalas-malasan. Dengan ujian ini kalian begitu hampir kepada Allah dan ternyata Allah lebih hampir dari urat leher kalian sendiri. Tiadalah seseorang itu dikatakan telah beriman melainkan Allah ujikannya. Maka bersabarlah. Tabahlah. Redolah. Kafarah buat kalian disini untuk kesenangan di akhirat kelak. In shaa Allah.


Ku peringatkan pada diriku yang serba daif ini, agar lebih berjaga-jaga dalam mendepani liku-liku hidup. Apatah lagi suasananya sering dilihat dalam zon selesa. Maka bersiap sedialah dengan kafarah. Yakni timbal balik diatas dosa-dosa yang kita telah lakukan selama ini. Ia boleh datang kepada kita dalam pelbagai bentuk dan cara. Penyakit. Rezeki. Kebahagiaan. Apa mungkinkah Allah melupakan daku dengan tidak memberikan daku ujian? Hakikatnya kita haruslah bersangka baik terhadap Maha Pencipta kita kerana Dia lah yang maha arif, maha bijaksana lagi maha mengetahui setiap sesuatu perkara itu. Wallahu a'lam.

"Apakah kalian mengira bahawa kalian akan masuk ke dalam syurga, padahal belum datang kepada kalian (dugaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kalian? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam goncangan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-rang yang bersamanya, Bilakah datang pertolongan Allah? Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah amatlah dekat". Al-Baqarah: 214.

No comments:

Post a Comment