Wednesday, December 10, 2014

Pengalaman Mengikuti Morib SeMalaya 2014 Bahagian 1.

Bismillah. Terkaku dan terkaget seketika. Akhirnya. Sekian lamanya. Para pengunjung yang dikasihi berpeluang jua mengeja dan membaca huruf-huruf abjad yang disusun-atur oleh seorang hamba Allah ini. Seorang yang dikenali dengan gelaran budiman dari rakan-rakan seperjuangannya. Kebelakangan ini pula mendapat gelaran budiman yang telah lama menyepi atau menghilangkan diri. Jangan khuatir. Teman tidak ke mana-mana dan masih ada di sisi kalian. Kepada mereka yang meluahkan akan kerinduan terhadap coretan Budiman Berbasikal Klasik, usah dibimbangkan. Teman tidak pernah berhenti menulis. Hanyasanya kebanyakkan karya yang teman nukilkan lebih berbentuk penulisan di atas kertas berbanding di alam maya. In sha Allah, akan teman kembalikan momentum seperti dahulu kala. Doakan saja untuk diri ini.

Detik 3.45 petang, bersamaan 6 Disember 2014. Bermulanya pengembaraan Budiman Berbasikal Klasik. Pengembaraan demi hobi yang dicintai. Pengembaraan demi menemui sahabat handai yang dirindui. Pengembaraan menuju ke Dataran Pantai Morib untuk menyahut undangan dan sokongan bagi sebuah acara berbasikal klasik. Ia merupakan acara tahunan kali ke dua berturut-turut yang penuh gilang gemilang, yang terbesar lagi termasyur. Itulah dia Himpunan Basikal Klasik dan Basikal Tua SeMalaya 2014. Jika rata-rata dari kita mengharapkan gajet dan aplikasi Wase sebagai panduan tuju arah, teman juga mempunyai "Wase" tersendiri. Ia bukanlah sebuah gajet yang dapat dibeli atau aplikasi yang boleh dimuat-turun. Tapi ia adalah seorang insan yang bernama Ibram Talib. Saban tahun dan hampir setiap program berbasikal klasik yang berdestinasi jauh, hamba Allah inilah yang sentiasa menjadi pengemudi jalan buat teman. Begitu juga untuk perjalanan ke Pantai Morib pada kali ini.


Semakin hampir ke destinasi, makin teruja dibuatnya. Teruja hendak berjumpa dengan para sahabat yang telah lama tidak bersua dan bertanyakan khabar. 3.45 bertolak. Perjalanan dari Puchong melalui lebuhraya SKVE mengambil masa hampir sejam untuk sampai ke Pantai Morib. Disangkakan hujan, rupanya tidak. Sedang elok sahaja cuaca. Tidak terlalu panas dan tidak pula hujan. Makin terbenam turun matahari di lewat petang, makin gemuruh dan berkeinginan tinggi hati ini untuk berjumpa dengan rakan taulan. Lebih kurang 300 meter selepas selekoh akhir sebelum tibanya di Dataran Morib, kelihatan deretan khemah-khemah tersergam indah memayungi ratusan susunan basikal klasik kepunyaan para peserta yang telah pun tiba lebih awal. Belum pun sempat teman keluar dari kenderaan atau kaki menjejaki tanah Morib, teman dapat rasakan betapa meriah dan semaraknya acara ini.


Udara segar dan angin sepoi-sepoi bahasa beraromakan air laut masin sungguh mententeramkan jiwa ini. Hendak saja kaki ini menghala terus ke tepi laut untuk menikmati keindahan panorama ciptaan Allah. Kurang lebih tujuh langkah ke arah laut, baru teman sedari yang seeloknya harus daftarkan diri dahulu dan berjumpa dengan rakan-rakan seperjuangan yang telah lama tidak berhubungan. Empat bulan teman menyepi, tapi reaksi apabila bertemu semula dengan mereka bagaikan seorang anak yang berpergian jauh melanjutkan pengajian ijazah di luar negara selama empat tahun. Itulah nikmat persaudaraan yang sejati. Setiap salam dan pelukan itu mengeratkan lagi pautan persaudaraan. Diruang perenggan ini juga, teman ingin menzahirkan perasaan jutaan terima kasih yang tak terhingga kepada usaha-sama antara Kelab Basikal Klasik Kampung Kundang (KBKKK) dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) serta mana-mana individu atau organisasi (yang mungkin teman terlepas pandang untuk mencatitkannya) kerana sekali lagi kalian telah berjaya melakarkan sejarah manis dalam menjayakan sebuah acara yang cukup sempurna dan menarik. Sebuah acara yang memenuhi, menepati kehendak dan citarasa para tetamunya. Layanannya yang mesra lagi akrab, penginapannya yang sempurna lagi selesa, makan minumnya yang lumayan lagi melazatkan serta pengisian aktivitinya yang seronok lagi menghiburkan. Ia adalah apa yang diimpikan oleh setiap pemilik dan pencinta basikal klasik. Syabas dan tahniah, ikhlas dari entiti Budiman Berbasikal Klasik.



Sesi petang itu sahaja sudah cukup memadai untuk mengisi masa lapang para peserta dengan pelbagai aktiviti sampingan. Diantaranya ialah bawa susu getah dengan basikal, kayuh basikal antara dalam palang, kayuhan ke kebun dan bola sepak kampung. Hebat gelagat dan semangat yang ditunjukkan oleh mereka yang rata-ratanya berpangkat abang, kakak serta umi, abah buat teman. Terpanpang di wajah mereka kegembiraan sewaktu mengambil bahagian dalam aktiviti permainan tersebut. Barangkali mengenangkan nostalgia zaman kanak-kanak atau muda-mudi dahulu terutamanya untuk aktiviti kayuh basikal antara dalam palang. Teman mengambil kesempatan ruang dan masa yang ada untuk bersiar-siar di sekitar dataran tersebut. Akhirnya kali ini laut betul-betul sedepa jauhnya dengan teman. MashaAllah. Sungguh besar nikmat dan kuasa yang maha Pencipta. Matahari yang hanya tinggal suku tingginya sebelum terbenam sempurna. Begitu indah. Kanak-kanak riang ria berlari, berkejaran, bermain layang-layang, meniup buih-buih sabun. Begitu mempesonakan. Lama juga teman menghayati suasananya. Jika ada sesiapa yang sudi meminjamkan sepasang telinga pada saat dan ketika itu, teman mungkin rela untuk berkongsikan kisah pemergian empat bulan yang sunyi menyepi itu. 



Masa untuk aktiviti bebas dan beristirehat merehatkan badan. Seperti tahun sebelumnya, para peserta diberikan kemudahan penginapan tanpa dikenakan sebarang bayaran untuk bermalam. Diantara tempat yang disediakan adalah El-Azzhar Camp yang terletak lebih kurang dua kilometer dari tapak acara. Inilah penginapan kegemaran teman. Unik, nyaman dan menyegarkan. Dikelilingi pokok-pokok rhu, kelapa dan perapat. Bilamana air laut di situ dalam keadaan pasang, maka ombaknya akan sampai betul-betul ke tepian. Pabila waktu surut pula pantainya terbentang luas mata memandang. Acap kali boleh kedengaran akan desir bayu dan deru ombaknya walaupun teman berada di dalam bilik yang didiami. Kalau nak tahu siapa insan-insan yang bertuah dapat sebilik dengan penulis Budiman Berbasikal Klasik ini, bolehlah merujuk kepada artikel acara yang sama pada tahun lepas. In sha Allah selagi acara ini digiatkan saban tahun, selagi itulah kami bertiga akan bersama, sebilik dan seiringan berbasikal. Jika rakan taulan lain hendak menyertai kami yang boleh diibaratkan seketika sebagai bujang lapok, maka kenalah buat pendaftaran temujanji lebih awal. Sedar tak sedar rasanya bagaikan dah terlebih meleret panjang nukilan ni. Belum lagi dikisahkan sesi makan malam. Apatah lagi pengisian ceritera hari kedua. Apa kata teman tangguhkan dahulu ceritera ini dan sambungannya akan teman taipkan pada slot artikel yang asing. Mohon ampun dan jika ada tersalah tulis harap dapat dimaafkan. Nantikan sambungannya..

2 comments:

  1. Replies
    1. Terima kasih saudaraku yang begitu versatile. Looking forward untuk pertemuan kita yang ke tiga di masa akan datang. :)

      Delete