Pengalaman Mengikuti Kayuhan Hari Wilayah
Musim-musim panas ni agak sedikit sukar hendak mencari buah fikiran bagi menghasilkan gubahan-gubahan nukilan. Barang kali cuaca panas ni ada memberi kesan sampingan yang menjerumus kepada kelembapan terhadap perkembangan daya fikiran untuk terus berperanan aktif. Semoga teman (selaku penulis blog Budiman Berbasikal Klasik) diberi kekuatan agar senantiasa konsisten dan tangkas dalam mewarnai dunia hobi berbasikal klasik ini. Mohon para pengunjung budiman sekalian doakan untuk kesejahteraan kita bersama.
Bagi acara terbaru yang diikuti iaitu kayuhan sempena Hari Wilayah 2014, sekadar ringkasnya berjalan dengan baik dan begitu meriah. Ia merupakan pengalaman yang istimewa buat diri teman kerana pertama kali dapat merasai suasana kayuhan bersama dengan para pengayuh yang terdiri daripada pelbagai jenis kategori basikal moden terutamanya basikal gunung (mountain bike). Sekali lagi ia merupakan satu kepastian bilamana kumpulan berbasikal klasik telah mendapat tumpuan dan perhatian istimewa dari para peserta lain. Kayuhan santai ini memang menyajikan kelainannya yang tersendiri apatah lagi berbasikal di sekitar Putrajaya yang mempunyai infrastruktur bangunan cantik serta lanskap taman-taman yang indah.
Penglibatan basikal-basikal klasik terhadap acara kategori terbuka dan santai seperti ini amatlah disarankan. Bukan sahaja kita dapat melakukan aktiviti sihat dan beriadah bersama keluarga dan rakan taulan, malah berpeluang mengetengahkan pengangkutan basikal klasik ini kepada masyarakat awam. Impresi yang baik lagi merendahkan diri akan membuahkan persepsi yang terpuji lagi dihormati untuk kita.
|
Wak Ajis bersama keluarganya yang sentiasa semangat menyahut acara-acara aktiviti berbasikal. |
|
Para wartawan tidak melepaskan peluang menemuramah kumpulan basikal klasik untuk direncanakan dalam media massa. |
|
Rakan-rakan basikal klasik bersiap sedia sebelum kayuhan dilepaskan. Gah berbaris di bahagian hadapan sekali melangkaui hampir 6000 ribu peserta lain. |
|
Berbaris sebelum upacara pelepasan bermula dengan aksi saudara Zaidie menangkap gambar basikal klasik tenteranya yang tercinta. |
|
Geng basikal klasik bersama basikal kesayangan masing-masing dengan berlatar belakangkan gerbang Putrajaya Holding. |
|
Gambar titik tengah yang sempurna kumpulan basikal klasik sebelum berangkat pulang untuk dijadikan kenangan. |
No comments:
Post a Comment