Friday, February 28, 2014

Rehat Seketika


Lain macam saja bunyi tajuk yang diberikan untuk artikel ini. Usah dikhuatiri wahai pengunjung sekalian. Sekadar ingin memaklumkan Budiman Berbasikal Klasik akan menangguhkan segala aktiviti yang berkaitan hobi berbasikal ini untuk tempoh kurang lebih sebulan. Ini kerana untuk tempoh tersebut ada komitmen besar yang perlu dipikuli yang memerlukan banyak pengorbanan masa, wang dan tenaga. Oleh itu blog ini serta tuan punya dirinya dijangkakan akan menyepikan diri buat seketika disepanjang bulan Mac 2014. Jika semuanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan, InsyaAllah kita bersua kembali dalam tempoh sebulan dari sekarang. Salam istirehat.

Thursday, February 27, 2014

Foto Pilihan Bulan Februari 2014


Agak sukar dan rumit rasanya untuk memilih gambar terbaik bagi bulan Februari 2014. Gambar yang dipilih untuk bulan Februari adalah sudah pasti berdasarkan aktivti pada bulan tersebut. Seperti para pengunjung ketahui, koleksi gambar untuk bulan ini adalah dari acara berbasikal sempena Hari Wilayah yang telah diadakan di Putrajaya. Memandangkan panorama di sekitar Putrajaya sungguh indah dan cantik-cantik belaka, maka rata-rata koleksi gambar yang ditangkapkan juga sama padan cantiknya. Setelah lama belek-membelek, akhirnya gambar seperti paparan di atas telah dipilih sekaligus dinobatkan sebagai gambar terbaik bagi bulan Februari 2014. Oleh itu berakhirlah sudah sinopsis blog ini bagi edisi bulan Februari 2014. Nantikan paparan terkini lagi segar untuk bulan Mac 2014 tidak lama lagi. Sekian dan selamat beriadah bersama basikal tercinta.

Saturday, February 15, 2014

Video Kayuhan Hari Wilayah


Video kayuhan hari wilayah from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.

Video bagi acara kayuhan Hari Wilayah 2014 sudah siap sepenuhnya untuk dipertontonkan. Video ini mengambil tempoh masa yang agak lama untuk disiapkan kerana pertama kali diberi suntingan khas untuk paparan definisi tinggi (high definition). Lagi tinggi definisinya maka lagi besar saiz failnya. Maka apabila failnya besar, makin panjang tempoh durasi muat turunnya. Seperti biasa, rakaman yang dihasilkan selama lima minit lebih ini sudah semestinya banyak kepada aksi-aksi semasa mengayuh basikal. Selamat menonton dan teruskan aktiviti sihat anda dengan berbasikal.

Wednesday, February 12, 2014

Pengalaman Mengikuti Kayuhan Hari Wilayah

Musim-musim panas ni agak sedikit sukar hendak mencari buah fikiran bagi menghasilkan gubahan-gubahan nukilan. Barang kali cuaca panas ni ada memberi kesan sampingan yang menjerumus kepada kelembapan terhadap perkembangan daya fikiran untuk terus berperanan aktif. Semoga teman (selaku penulis blog Budiman Berbasikal Klasik) diberi kekuatan agar senantiasa konsisten dan tangkas dalam mewarnai dunia hobi berbasikal klasik ini. Mohon para pengunjung budiman sekalian doakan untuk kesejahteraan kita bersama.

Bagi acara terbaru yang diikuti iaitu kayuhan sempena Hari Wilayah 2014, sekadar ringkasnya berjalan dengan baik dan begitu meriah. Ia merupakan pengalaman yang istimewa buat diri teman kerana pertama kali dapat merasai suasana kayuhan bersama dengan para pengayuh yang terdiri daripada pelbagai jenis kategori basikal moden terutamanya basikal gunung (mountain bike). Sekali lagi ia merupakan satu kepastian bilamana kumpulan berbasikal klasik telah mendapat tumpuan dan perhatian istimewa dari para peserta lain. Kayuhan santai ini memang menyajikan kelainannya yang tersendiri apatah lagi berbasikal di sekitar Putrajaya yang mempunyai infrastruktur bangunan cantik serta lanskap taman-taman yang indah.

Penglibatan basikal-basikal klasik terhadap acara kategori terbuka dan santai seperti ini amatlah disarankan. Bukan sahaja kita dapat melakukan aktiviti sihat dan beriadah bersama keluarga dan rakan taulan, malah berpeluang mengetengahkan pengangkutan basikal klasik ini kepada masyarakat awam. Impresi yang baik lagi merendahkan diri akan membuahkan persepsi yang terpuji lagi dihormati untuk kita. 

Wak Ajis bersama keluarganya yang sentiasa semangat menyahut acara-acara aktiviti berbasikal. 

Para wartawan tidak melepaskan peluang menemuramah kumpulan basikal klasik untuk direncanakan dalam media massa.

Rakan-rakan basikal klasik bersiap sedia sebelum kayuhan dilepaskan. Gah berbaris di bahagian hadapan sekali melangkaui hampir 6000 ribu peserta lain.

Berbaris sebelum upacara pelepasan bermula dengan aksi saudara Zaidie menangkap gambar basikal klasik tenteranya yang tercinta.

Geng basikal klasik bersama basikal kesayangan masing-masing dengan berlatar belakangkan gerbang Putrajaya Holding.

Gambar titik tengah yang sempurna kumpulan basikal klasik sebelum berangkat pulang untuk dijadikan kenangan.

Friday, February 7, 2014

Kempen Menyokong Kayuhan Hari Wilayah



Budiman Berbasikal Klasik memberi sokongan yang tinggi sekaligus akan menyertai acara kayuhan berbasikal sempena Hari Wilayah Persekutuan 2014 yang akan diadakan di Putrajaya pada hari Ahad bersamaan 9 Februari. Ini merupakan penyertaan yang julong kali buat Budiman Berbasikal Klasik menceburi acara yang melibatkan kategori basikal terbuka yang terdiri dari pelbagai jenis basikal seperti basikal lumba, basikal lipat dan sudah pasti majoritinya basikal gunung. Semoga pengalaman baru yang bakal ditempuhi bersama pelbagai jenis penggiat basikal lain akan dipermudahkan. Nantikan nukilan pengalamannya setelai usai acara tersebut. Tungguuuuu. 

Thursday, February 6, 2014

Sketsa Jenaka Bulan Januari 2014


Budiman Berbasikal Klasik mengalu-alukan kunjungan para tetamu sekalian untuk pembukaan artikel bagi edisi bulan Februari 2014. Diharapkan sahabat handai di luar sana masih konsisten dan bersemangat mempraktikkan cara hidup sihat dengan melakukan aktiviti berbasikal bersama keluarga atau rakan taulan yang tercinta. Budiman Berbasikal Klasik menampilkan sketsa jenaka seperti paparan di atas sebagai membuka tirai bagi edisi bulan Februari 2014. Sekadar hiburan ringan bagi menceriakan hari-hari mendatang anda.

Bagi bulan Februari 2014, anda boleh menjangkakan sekurang-kurangnya satu aktiviti berbasikal klasik dan beberapa perkongsian mengenai penambahan aksesori serta penambah-baikan terhadap koleksi basikal teman. Oleh itu nantikan artikel seterusnya dari masa ke semasa. Tungguuuu.