Wednesday, July 31, 2013

Sekali Sekala Berpantun

Mari bersama kita berpantun,
Di blog Budiman Berbasikal Klasik nama diberi,
Orangnya malu lagi bersopan-santun,
Sekadar berkongsi coretan basikal sebagai penyeri.

Ilham dicari menjangkau destinasi.
begitu mngasyikan pemandangan tasik,
Pelbagai kisah menarik senantiasa dikongsi,
Buat tatapan semua pencinta basikal klasik.

  Tidak lenyap sejarah dimakan anai-anai,
Walau hijrah ke bumi Kenya,
Sampai disini saja edisi bulan Julai,
Jangan ketinggalan mengikuti edisi seterusnya.

Saturday, July 20, 2013

Barang Baik Sudah Tiba


Barang baik apakah yang dimaksudkan? Barang baik yang dimaksudkan itu merupakan sebuah replika hiasan basikal klasik yang diperbuat daripada tembaga. Besar juga ukurannya dengan panjang 19 inchi dan tinggi 11 inchi. Sepanjang pembelian dari Ebay UK, inilah barang yang memakan tempoh masa paling lama untuk sampai ke pangkuan teman. Ingatkan ditipu atau silap pos. Hampir sebulan lebih menunggu akhirnya mendarat juga ke bumi Malaysia. Sekadar untuk menceriakan hiasan di ruang tamu sempena menyambut raya nanti. Nak letak koleksi basikal yang betul di ruang tamu dikhuatiri tak muat pula. Maka yang mini replika pun jadilah. ;)

Sunday, July 14, 2013

Populariti Berbasikal Di negara Eropah

Suatu ketika teman ada terbaca sebuah artikel tentang keberkesanan negara eropah menjadikan basikal sebagai sebahagian pengangkutan terpenting. Mengapa aktiviti berbasikal begitu diterima oleh mereka? Apakah yang mendorong mereka untuk terus berbasikal dan mengenepikan pilihan pengangkutan yang lain? Kenapa mereka masih konsisten berbasikal yang tidak banyak revolusinya dan hanya pandang sebelah mata saja pada dunia permotoran yang saban hari lebih canggih? Hasil dari pembacaan santai dari artikel tersebut maka teman dapat menyimpulkan beberapa faktor utama terhadap persoalan berkaitan.

 1. Peranan pihak berwajib.
 - Bagi menggalakan masyarakat berbasikal, banyak negara eropah telah membina rangkaian infrastuktur yang serba-serbi untuk kemudahan berbasikal. Ini termasuklah lorong yang luas bagi membolehkan penunggang berbasikal sebelah menyebelah atau untuk memotong, permukaan jalan yang turap dan rata, papan-papan tanda yang berkaitan dan lampu yang jelas untuk kegunaan waktu malam. Dari aspek perundangan juga pihak kerajaan telah merancang rang undang-undang yang memberi keutamaan kepada para pengayuh demi menjaga kebajikan mereka dan sekali gus mengangkat status berbasikal di jalan raya setaraf kepentingannya dengan kenderaan bermotor yang lain.


2. Didikan dan pendedahan dari peringkat awal.
- Malah sebelum mereka boleh berjalan lagi, kanak-kanak telah didedahkan dengan penggunaan kargo basikal yang boleh mengangkut mereka. Dari situ kesinambungan penggunaan basikal diteruskan kepada fasa demi fasa dalam kehidupan mereka mengikut kesesuaian umur dan praktikaliti. Begitu juga peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah seperti yang terdapat di negara Denmark yang menyediakan kokurikulum khusus untuk berbasikal. Lantaran menjadikan input pengetahuan dan aktiviti berbasikal itu tidak lekang sepanjang masa.

         
3. Memberi imbuhan istimewa dan pengiktirafan khas.
- Di negara Belanda sebagai contohnya, kebanyakan syarikat, universiti dan sekolah memberikan imbuhan khas kepada mereka yang menggunakan basikal sebagai medium pengangkutan. Ada yang memberikan helmet percuma, menawarkan diskaun pelepasan cukai serta tidak kurang juga elaun saku sebagai penghargaan menyokong kempen persekitaran alam hijau. Orang yang tidak minat dengan basikal secara tidak langsung akan tertarik dengan pelbagai imbuhan saguhati yang ditawarkan. Suatu perangsangan yang cukup sihat.


Begitulah mentaliti orang eropah terhadap penerimaan dan penyerahan diri mereka  kepada dunia basikal. Apa yang penting kerjasama dari pihak bertanggungjawab serta persefahaman yang sehaluan lagi positif diantara pihak permintaan dan pihak penawaran. Jika anda ke sana misalnya negara Belanda dan terserempak dengan beberapa penunggang basikal yang tegar, cubalah anda tegur sapa mereka dan tanyakan soalan adakah mereka penunggang / pengayuh basikal. Anda mungkin terkejut dengan jawapan yang mereka berikan - Kami bukan penunggang / pengayuh basikal, kami cuma orang Belanda. ("We aren't cyclists, we are just Dutch"). 

Renung-renungkan ;) 

Wednesday, July 10, 2013

Sketsa Jenaka Bulan Julai 2013



Thursday, July 4, 2013

Eid Mubarak


Bagi muqadimah bulan July 2013, umum diketahui bahawa bulan ini umat Islam akan memulakan ibadah puasa. Oleh itu Budiman Berbasikal Klasik ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan al-mubarak. Semoga sejahtera selalu hendaknya. Secara tidak langsung aktiviti berbasikal juga berkemungkinan besar tidak akan dijalankan. Akan tetapi bagi tidak menghampakan pengunjung-pengunjung setia, blog ini akan tetap disajikan dengan artikel-artikel yang bersangkutan dengan hobi berbasikal. Semoga waktu yang diluangkan dalam bulan mulia ini menjadi manfaat untuk semua.