Tuesday, April 30, 2013

Foto Pilihan Bulan April 2013


Untuk mengakhiri karya bulan ini, teman persembahkan foto berikut sebagai foto pilihan bulan April 2013. Sepeda ini telah banyak berjasa kepada tuannya. Tidak banyak kerenah. Tidak pula meragam. Tidak pernah menghampakan tuannya dalam setiap acara rasmi berbasikal yang disertainya sebelum ini. Cuma beratnya saja yang boleh diistilahkan ketegorinya sebagai "obesiti". Kerana ternyata memang berat bagi basikal bersaiz 28 untuk diangkut ke hulu hilir lebih-lebih lagi menuju lokasi acara yang jauh. :)

Saturday, April 27, 2013

Penyuluh Di Waktu Malam

Apa khabar para pelawat sekalian? Semoga sihat selalu dan sejahtera hendaknya. Biasakah para pembaca sekalian melakukan aktiviti kayuhan basikal pada waktu malam? Agak jarang rasanya. Selalunya waktu malam diluangkan masa bersama seisi rumah atau ahli keluarga. Apatah lagi pada hari-hari bekerja bilamana waktu malamlah tempoh yang diperlukan untuk berehat sebelum menyambung tugasan mencari rezeki pada keesokan harinya.

Bagi sesetengah individu, kayuhan pada waktu malam boleh dijadikan sebagai aktiviti yang kerap dengan pelbagai tujuan. Ada yang kayuh ke lorong depan taman untuk membeli burger. Ada pula yang kayuh ke kedai runcit berhampiran untuk membeli sebuku roti sebagai hidangan sarapan esok hari. Ada yang kayuh santai sekadar untuk mengambil angin malam. Jiran teman sebagai contohnya, menggunakan medium berbasikal untuk menghantar anaknya pergi ke pusat tusyen yang berdekatan pada waktu malam. Teman pula seperti kebanyakan jiran-jiran setempat yang lain menggunakan basikal untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat Maghrib dan Isya.

Rata-rata dalam pemerhatian teman hampir 90% kegunaan basikal pada waktu malam tidak memasang atau menggunakan lampu. Paling tidaknya hanya pemantul cahaya (reflector) yang sekadar memberi sedikit pancaran cahaya apabila dipantulkan pada lampu. Sama jugalah pada basikal klasik teman ini yang menggunakan lampu berkuasa dynamo biasa. Dari segi keselamatan, pencahayaannya tidak begitu praktikal kerana cahaya hanya akan terhasil apabila basikal dikayuh. Jika dikayuh secara perlahan maka malaplah penjanaan cahaya lampunya. 

Oleh itu teman telah mengambil inisiatif dengan mendapatkan sebuah lampu basikal yang berkuasa bateri. Masih mengekalkan ciri-ciri reka bentuk dinamo klasik tetapi kelebihannya adalah menggunakan lampu LED. Lampu baru tersebut sudah pun dipasang pada salah sebuah basikal klasik teman. Memang begitu terang benderang apabila dinyalakan ketika waktu gelap.  Maka kayuhan di waktu malam selepas ini akan memberi lebih keyakinan dan keselesaan. Terang pemandangan, menajamkan pengamatan. Demi keselamatan.



Wednesday, April 17, 2013

Ayuh Kongsikan Fakta Bermanfaat Ini.

Sila klik pada gambar untuk paparan lebih jelas dan besar.
Sambil-sambil melayari laman web internet yang pelbagai, teman ditemukan dengan gambarajah yang begitu bermanfaat untuk dikongsikan bersama seperti tertera di atas. Fakta yang diperoleh berdasarkan kajian yang dibuat oleh beberapa badan atau organisasi basikal antarabangsa menunjukan kelebihan dan kebaikan berbasikal terhadap kesihatan dan komuniti persekitaran. Tanpa syak dan diragui lagi, aktiviti berbasikal secara terus-menerus dapat mempertingkatkan tahap kesihatan dan memperkukuhkan kuasa ekonomi. Walau apa jua jenis basikal yang dikayuhi serta apa tujuan digunakan sekalipun seperti untuk pekerjaan, bersukan mahupun beriadah suka-ria. 

Rasanya tidak perlulah teman menghikayatkan huraian rencananya kerana segala fakta-fakta maklumat kelebihannya boleh dibaca pada gambarajah tersebut. Hanya satu saja yang teman ingin tekankan untuk perkongsian bersama sahabat-sahabat seperjuangan. Iaitu antara faktor yang penting bagi menggapai manfaat tersebut adalah kita harus senantiasa konsisten (bertetapan) mengaplikasikan kegunaan basikal dalam pelbagai keadaan dan persisten (berkesinambungan) mempraktikannya menjangkaui di luar lingkungan batasan sepanjang waktu. Semoga dapat memberi manfaat untuk kebaikan kita bersama.

Thursday, April 11, 2013

Sketsa Jenaka Bulan April 2013

 

Sunday, April 7, 2013

Pelekat Robin Hood


Pada hujung minggu ini, sedikit sesi restorasi atau baik pulih telah dilakukan pada basikal klasik teman. Seperti paparan gambar di atas, satu bungkusan yang mengandungi set sempurna pelekat Robin Hood telah sampai ke pangkuan teman. Pembelian dari laman maya ini bertujuan untuk melengkapkan label-label pelekat basikal yang kekosongan pada basikal teman yang satu ini. Lantaran itu penampalan pelekatnya dilaksanakan dengan penuh teliti lagi perinci berdasarkan ciri-ciri asli lokasi label jenama basikal tersebut. Maka bertambah anggunlah hendaknya pengangkutan teman ini. Bagaimana pula anda meluangkan masa di hujung minggu bersama basikal andaSekali sekala kena dibelai juga. Jika tidak takut merajuk pula nanti. Sekadar perkongisan di hujung minggu. Sekian.

Thursday, April 4, 2013

Video Kayuhan Basikal Klasik Ipoh Station Siri 2

Video kayuhan puchong edited from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.


Apa khabar para pengunjung sekalian? Harap semuanya sihat belaka. Diharapkan juga kandungan pengisian untuk bulan lepas tidak membosankan atau menghampakan para pembaca semua. Blog Budiman Berbasikal Klasik akan senantiasa mencari ruang dan peluang yang inovatif bagi memastikan rakan-rakan sekalian senantiasa terhibur dengan segala input-input yang dikongsikan. Umum diketahui, parlimen di negara kita telah pun dibubarkan. Maka sebarang anjuran rasmi untuk aktiviti berbasikal dijangkakan atau diramalkan akan tangguh sehingga selesai pilihan raya umum nanti. Dengan itu pengisian untuk edisi bulan ini teman akan mengetengahkan topik-topik yang berkaitan dengan penjagaan / pembaikan basikal berbanding perkongsian aktiviti. 

Lantaran itu, untuk artikel sulung bagi edisi bulan April 2013 ini, teman ingin berkongsikan video yang memaparkan aktiviti berbasikal klasik secara kecilan ke Ipoh Station yang telah diadakan pada 30 Mac 2013. Video yang berlangsung sekitar lapan minit lebih ini berkisar tentang perjalanan kayuhan ke Ipoh Station serta paparan serba sedikit sekitar pertunjukan "Vintage Toys Exhibition". Selamat menonton dan jika ada sebarang komentar, sudi-sudikanlah coret pada ruangan komentar di bawah ini. Sekian.