Saturday, March 30, 2013

Pengalaman Kayuhan Basikal Klasik Ipoh Station

Agaknya berat badan teman pada hari ini telah susut satu kilogram. Apakan tidaknya, baru pagi hari tadi telah teman langsungkan kayuhan basikal klasik sejauh lebih kurang lapan kilometer. Begitulah kisahnya dimana telah selesai acara kayuhan santai secara kecilan dari Puchong Prima ke Ipoh Station Antique Cafe yang telah dijayakan bersama kehadiran rakan taulan di sekitar lembah klang. Al maklum musim cuti sekolah ni ramai yang telah terikat dengan pelbagai program dan komitmen justeru hanya kami berenam sahaja beraksi untuk aktiviti pada kali ini.

Aktiviti kayuhan diceriakan lagi dengan kehadiran sahabat akrab teman iaitu saudara Aznor (Master Raleigh) serta anaknya adik Azim. Dua beranak dari Cheras ini memang begitu semangat dan terkenal dengan kekerapan aktiviti kayuhan mereka ke KLCC pada waktu malam. Sebelum memulakan kayuhan, roti canai dan  teh tarik dari restoran ABC menjadi sumber bekalan tenaga kami. Perjalanan ke Ipoh Station dari Puchong Prima memakan masa sekitar 30 minit. Kerancakan berbual sambil berkayuh diantara saudara Razali dan Aznor menjadikan kayuhan terasa begitu singkat. Sebelum tiba ke destinasi Ipoh Station, kami singgah sebentar di perkarangan TESCO untuk sesi bergambar.


Ketibaan rombongan kami disambut oleh pemilik Ipoh Station iaitu saudara Azlan. Seperti diketahui umum, kehadiran kami di sini adalah untuk melihat pameran permainan antik "toys vintage exhibition". Memang begitu banyak sekali permainan lama yang dipertunjukan oleh pengumpul-pengumpul tegar terutamanya jenis kereta sorong kanak-kanak. Teringat zaman kanak-kanak teman apabila melihatkan permainan yang ada di situ. Permainan kegemaran teman sewaktu kecil dahulu pun ada dipamerkan iaitu patung-patung "Thunder Cats". Kami meluangkan masa santai di sini dengan suasana persekitaran antik, berlatar belakangkan lagu 60an sambil mengeteh bagi menambahkan lagi bekalan tenaga untuk kayuhan pulang nanti.


Pada saat-saat akhir sebelum berangkat pulang, teman seakan terbau aroma dari Bandung. Bila dicari-cari, agak samar untuk mengecam sumber aroma tersebut. Rupa-rupanya aroma Bandung itu datang dari saudara Ikhwan yang kebetulan bertandang ke Ipoh Station bersama keluarganya. Lepas juga rindu untuk bersua dengan wakil sahabat-sahabat yang telah kembali dari Bandung untuk acara mega iaitu Lautan Onthel pada tempoh hari. Terima kasih tak terkata kepada saudara Ikhwan kerana menghadiahkan kepada kami semua ole-ole sebagai kenangan. Bertambah lagilah koleksi teman.


Begitulah sedikit sebanyak coretan aktiviti kayuhan bagi bulan Mac 2013. Semoga menjadi inspirasi kepada para pencinta basikal klasik sekalian agar senantiasa tegar dan terus aktif disamping mengeratkan tali silatulrahim. Seperti lazimnya, laporan tidak rasmi untuk setiap aktiviti tidak berakhir dengan paparan gambar-gambar sahaja. Video aktiviti ini akan turut dikongsikan untuk paparan hiburan sampingan kepada para pengunjung sekalian tidak lama lagi. Tungguuuuuuu.

No comments:

Post a Comment