Sunday, March 31, 2013

Foto Pilihan Bulan Mac 2013


Inilah foto yang menjadi pilihan hati untuk bulan Mac 2013. Ditangkap sewaktu aktiviti kayuhan ke Ipoh Station Antique Cafe untuk menyaksikan pertunjukan "Toys Vintage Exhibition". Ini juga merupakan kali pertama basikal klasik teman yang bersaiz 26 beraksi seterusnya dipilih untuk dinobatkan sebagai foto pilihan pada bulan ini. Lokasi gambar ini pula diambil perdekatan perkarangan TESCO Bukit Puchong dengan ditemani deretan basikal klasik yang hebat-hebat belaka kepunyaan rakan taulan. Maka coretan ini menjadi penyudah bagi edisi bulan Mac 2013. Diharap segala pengisian yang dikongsikan menjadi faktor aspirasi kepada para peminat basikal klasik agar terus tegar dan aktif melestarikan aktiviti riadah berbasikal klasik. Jumpa anda untuk edisi bulan April 2013 tidak lama lagi. Sekian.

Saturday, March 30, 2013

Pengalaman Kayuhan Basikal Klasik Ipoh Station

Agaknya berat badan teman pada hari ini telah susut satu kilogram. Apakan tidaknya, baru pagi hari tadi telah teman langsungkan kayuhan basikal klasik sejauh lebih kurang lapan kilometer. Begitulah kisahnya dimana telah selesai acara kayuhan santai secara kecilan dari Puchong Prima ke Ipoh Station Antique Cafe yang telah dijayakan bersama kehadiran rakan taulan di sekitar lembah klang. Al maklum musim cuti sekolah ni ramai yang telah terikat dengan pelbagai program dan komitmen justeru hanya kami berenam sahaja beraksi untuk aktiviti pada kali ini.

Aktiviti kayuhan diceriakan lagi dengan kehadiran sahabat akrab teman iaitu saudara Aznor (Master Raleigh) serta anaknya adik Azim. Dua beranak dari Cheras ini memang begitu semangat dan terkenal dengan kekerapan aktiviti kayuhan mereka ke KLCC pada waktu malam. Sebelum memulakan kayuhan, roti canai dan  teh tarik dari restoran ABC menjadi sumber bekalan tenaga kami. Perjalanan ke Ipoh Station dari Puchong Prima memakan masa sekitar 30 minit. Kerancakan berbual sambil berkayuh diantara saudara Razali dan Aznor menjadikan kayuhan terasa begitu singkat. Sebelum tiba ke destinasi Ipoh Station, kami singgah sebentar di perkarangan TESCO untuk sesi bergambar.


Ketibaan rombongan kami disambut oleh pemilik Ipoh Station iaitu saudara Azlan. Seperti diketahui umum, kehadiran kami di sini adalah untuk melihat pameran permainan antik "toys vintage exhibition". Memang begitu banyak sekali permainan lama yang dipertunjukan oleh pengumpul-pengumpul tegar terutamanya jenis kereta sorong kanak-kanak. Teringat zaman kanak-kanak teman apabila melihatkan permainan yang ada di situ. Permainan kegemaran teman sewaktu kecil dahulu pun ada dipamerkan iaitu patung-patung "Thunder Cats". Kami meluangkan masa santai di sini dengan suasana persekitaran antik, berlatar belakangkan lagu 60an sambil mengeteh bagi menambahkan lagi bekalan tenaga untuk kayuhan pulang nanti.


Pada saat-saat akhir sebelum berangkat pulang, teman seakan terbau aroma dari Bandung. Bila dicari-cari, agak samar untuk mengecam sumber aroma tersebut. Rupa-rupanya aroma Bandung itu datang dari saudara Ikhwan yang kebetulan bertandang ke Ipoh Station bersama keluarganya. Lepas juga rindu untuk bersua dengan wakil sahabat-sahabat yang telah kembali dari Bandung untuk acara mega iaitu Lautan Onthel pada tempoh hari. Terima kasih tak terkata kepada saudara Ikhwan kerana menghadiahkan kepada kami semua ole-ole sebagai kenangan. Bertambah lagilah koleksi teman.


Begitulah sedikit sebanyak coretan aktiviti kayuhan bagi bulan Mac 2013. Semoga menjadi inspirasi kepada para pencinta basikal klasik sekalian agar senantiasa tegar dan terus aktif disamping mengeratkan tali silatulrahim. Seperti lazimnya, laporan tidak rasmi untuk setiap aktiviti tidak berakhir dengan paparan gambar-gambar sahaja. Video aktiviti ini akan turut dikongsikan untuk paparan hiburan sampingan kepada para pengunjung sekalian tidak lama lagi. Tungguuuuuuu.

Tuesday, March 26, 2013

Jom Kayuhan Ke Ipoh Station Siri ke 2


Pada hari Sabtu ini (30 Mac 2013) akan diadakan satu sesi kecil kayuhan basikal klasik. Kayuhan kecil ini sekadar riadah pada hujung minggu bersama rakan-rakan yang kebanyakannya agak lama tidak bersua. Perjalanan kayuhan pada kali ini akan bermula di OTK Puchong Prima menuju ke Ipoh Station Antique Cafe yang terletak di Bandar Puchong Utama. Kebetulan pada hari tersebut Ipoh Station akan menganjurkan pameran "Vintage Toys Exibition" bersempena ulang tahun penubuhannya yang ke 5 tahun. Kepada sesiapa rakan taulan yang ingin memanaskan badan atau merenggangkan otot-otot sebelum acara di Morib nanti, dipersilakan menyertai kami pada hari Sabtu ini.

Sunday, March 17, 2013

Kedatangan Keluarga Baru

Ini merupakan coretan kisah yang agak hangat dan sensasi di blog Budiman Berbasikal Klasik. Al kisah maka sepeda teman tidak akan keseorangan lagi kerana telah tambahlah ahlinya dengan kedatangan dua sepeda baru ke teratak ini. Datangnya jauh dari arah selatan dengan anggaran masa perjalanan jika menaiki kereta dari sana lebih kurang tujuh puluh lima minit. Terima kasih kepada sahabat ini yang teman anggap sebagai abang kerana sudi berpindah milik sepeda tersebut kepada teman.

Mari teman rungkaikan sedikit butiran tentang kedatangan keluarga baru ini. Kedua-duanya teman gelarkan sebagai "laki-bini" kerana masing-masing berjantina lelaki dan perempuan serta mempunyai jenama yang serupa. Ukuran saiz basikal juga adalah sama iaitu dua puluh enam. Waktu pada ketika ini tidak mengizinkan teman menghadap komputer untuk menaip panjang lebar. Oleh itu biarlah gambar-gambar berikut dijadikan sebagai prawacana  perkenalan kepada para pengunjung seadanya. Semoga bersua lagi di artikel seterusnya. Sekian.
 
 

Wednesday, March 13, 2013

Sketsa Jenaka Bulan Mac 2013

Saturday, March 9, 2013

Edisi Bulan Mac 2013 dan Pengenalan Kepada PCBC

Sedar tak sedar sudah masuk bulan Mac. Bulan yang apabila anda menatap pada kalendar, anda akan rasa sedikit sedih atau mungkin kurang semangat. Hal demikian terjadi kerana bulan Mac tiada cuti umum atau cuti am diperuntukan melainkan cuti sekolah sahaja untuk anak-anak anda. Bulan Mac ini blog Budiman Berbasikal Klasik akan menyajikan beberapa kisah yang boleh diketegorikan sebagai agak mengejutkan kepada para pembaca budiman-budiwati sekalian. Diramalkan akan kurang aktiviti riadah berbasikal tetapi lebih kepada perkongsian tentang perhiasan basikal.

Untuk kesempatan ini, teman ingin berkongsi dengan para pengunjung sekalian tentang penubuhan sebuah komuniti berbasikal di sekitar kawasan penempatan teman yang diberi nama Puchong Classic Bicycle Club (PCBC). Secara tidak rasminya diwujudkan pada awal bulan Februari 2013. Terbentuknya komuniti ini asalnya berkisar tentang sekumpulan sahabat yang mempunyai persamaan hobi iaitu berbasikal klasik. Pada awalnya ia sekadar hobi sampingan bagi mengisi ruang-ruang waktu yang lapang. Dengan kerancakan aktiviti yang dijalankan maka ramai orang mula tertarik lalu berputik minat untuk melibatkan diri dalam hobi ini. Lantaran itu kami semua bersepakat untuk menubuhkan sebuah komuniti berbasikal klasik sekadar bagi memudahkan berkomunikasi. Maka terbinalah sebuah komuniti berbasikal klasik yang akrab, aktif lagi harmoni. Oleh itu kepada anda yang berminat atau ingin mengetahui lanjut mengenai PCBC bolehlah melayari di laman blog rasminya iaitu https://puchongcbc.blogspot.com atau like kami di laman facebook beralamat https://facebook.com/PuchongClassicBicycleClub . Nantikan artikel-artikel bagi edisi bulan Mac ini dari masa ke semasa. Selamat mengayuh semua.