Saturday, February 2, 2013
Fenomena Dikejar Anjing
Pernahkah dalam sejarah hidup anda dikejar oleh anjing? Jika
dilakukan kaji selidik, boleh jadi 5 daripada 10 orang pernah melalui
detik-detik cemas dikejar anjing. Jika ditanya teman, sepanjang hidup ini
sekurang-kurangnya 5 kali pernah melalui peristiwa tersebut. Peristiwa yang terkini
pun baru berlaku sekitar pertengahan tahun lepas dimana teman dikejar oleh
anjing liar semasa berbasikal di sekitar taman perumahan. Mujur anjing tersebut
cuma mengejar untuk detik sekejap sahaja. Hanya sekitar jarak 2 tiang lampu
jalan dan kemudian berhenti patah balik. Setakat ni belum ada peristiwa digigit
lagi. Paling rapat pernah dikejar pun dalam jarak 1 meter.
Maka terdapat dua persoalan yang ingin teman kongsikan.
Pertama: apakah punca yang menyebabkan binatang tersebut (baik liar mahupun yang
bertuan) mengejar anda (baik berjalan kaki mahu pun berkenderaan). Kedua:
apakah yang perlu anda buat atau lakukan apabila berdepan dengan situasi
seperti ini?
Terdapat beberapa punca atau faktor yang boleh mencetuskan beberapa kemungkinan
anjing tersebut mengejar. Antaranya:
1) Anda melalui atau menyesuri kawasan wilayah jajahan mereka
yang dirasakan dicerobohi.
2) Anda dianggap sebagai ancaman bilamana anjing tersebut
mempunyai simpanan makanan.
3) Sememangnya sudah menjadi lumrah sifat anjing tersebut yang
suka mengejar.
Seterusnya kita lihat pula apakah reaksi anda apabila berdepan dengan situasi seperti diatas.
1) Tindak balas yang lazim berlaku secara automatiknya adalah
anda akan berlari dan lari dan lari daripada terus dikejar rapat. Cara ini
begitu mujarab bagi teman berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui dimana
anjing tersebut selalunya akan berhenti mengejar pada jarak tertentu.
2) Jika anda berdarah pahlawan, silakan mendepani anjing
tersebut dengan menyerangnya menggunakan apa jua cara atau taktik mengikut keselesaan
dan persekitaran. Maka anjing tersebut mungkin akan beredar lantaran provokasi
lantang yang anda lakukan.
3) Dan jika anda berani serta berhati kering boleh juga anda
berhenti bergerak dan tunduk ibarat mengambil sesuatu. Maka anjing tersebut
mungkin akan beredar kerana beranggapan sesuatu objek akan direjam atau
dilontar ke arahnya.
Saranan dan perbicaraan diatas adalah berdasarkan pengalaman serta
pendapat peribadi sahaja. Tiada siapa yang berhasrat agar dikejar oleh anjing
apatah lagi sekadar mencuba atau mengambil risiko dengan mengujikaji kemujarabannya. Semoga aktiviti kayuhan basikal
anda akan senantiasa selamat tanpa sebarang gangguan atau halangan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment