Thursday, February 28, 2013
Foto Pilihan Bulan Februari 2013
February 2013 photo of the month
Foto pilihan bulan februari 2013
Inilah gambar yang menjadi pilihan untuk edisi bulan Februari 2013. Diambil selang beberapa hari selepas tamatnya acara Kayuhan Belia Ehsan Selangor di Klang. Gambar ini ditangkap pada waktu malam bagi mewujudkan sedikit keunikan kepada pencahayaan gambar. Manakala fokus gambar pula diberi penumpuan terhadap tag-tag acara kayuhan rasmi yang telah disertai. Maka penulisan karangan ni menjadi penutup bagi edisi bulan Februari 2013. Mudah-mudahan masa luang yang para pembaca sekalian korbankan ke blog ini berbaloi dengan mendapat manfaat maklumatnya serta terhibur dengan asam garam penceritaannya. Akhir kalam, selamat berkayuh semua tidak kira apa jua jenis basikal sama ada moden, terkini mahupun yang klasik.
Monday, February 25, 2013
Logo Rasmi Budiman Berbasikal Klasik
Untuk perkongsian artikel pada kali ni (seperti paparan gambar di atas), dengan sukacitanya teman ingin mempersembahkan logo, simbol atau trademark bagi blog Budiman Berbasikal Klasik (Gentleman Classic Cyclist). Diharap dengan wujudnya logo ini, masyarakat akan lebih mengenali entiti ini sebagai suatu lambang yang senantiasa menyokong kempen berbasikal. Bahkan pengamatan pada reka bentuk dan ilustrasi logo ini juga mendorong aspirasi untuk berbasikal dengan gaya yang positif, bersama basikal yang berestetika klasik. Ayuh kawan-kawan, aktifkan diri anda, sihatkan anggota badan anda, ceriakan lagi dunia sosial anda serta kukuhkan ekonomi kuasa wang anda dengan mengayuh basikal disamping memartabatkan khazanah basikal klasik.
Tuesday, February 19, 2013
Video Kayuhan Bes Jelajah Selangor
Video kayuhan basikal klasik BES jelajah Selangor 2013 from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.
Teman tahu ramai yang begitu teruja dan telah mencapai tahap kesabaran yang kronik demi menunggu penghasilan video kayuhan berbasikal klasik sempena BES jelajah Selangor. Termasuklah juga diri yang menaip ini. Maka penantian anda semua tamat pada saat ini dengan terhasilnya video berkenanan seperti yang telah dimuat-turunkan di atas. Video yang panjangnya sekitar lapan minit lebih ini dimulai dengan aksi kayuhan dari Stadium Padang Sultan Sulaiman Klang, termasuk juga babak perhentian di Istana Alam Shah dan persinggahan di perkarangan Masjid DiRaja Sultan Sulaiman. Selamat menonton untuk kenangan manis kita semua. Teruskan semarak anda melestarikan hobi berbasikal klasik. Tanpa sokongan anda pembaca budiman budiwati sekalian, maka tiadalah wujudnya entiti Budiman Berbasikal Klasik. Terima kasih teman ucapkan. Sekian.
Monday, February 18, 2013
Pengalaman Kayuhan BES di Klang
Jam menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam. Saat ini teman berada di depan kaca monitor, menaip sambil minum milo panas secawan. Badan agak letih tetapi hati begitu puas dan riang girang tak terkata. Mengapa hati riang ria tak terkata ni? Sebabnya baru siang hari tadi berlangsung acara kayuhan basikal klasik "belia ehsan Selangor" yang telah diadakan di Klang. Acara yang berlangsung dengan jayanya sekali. Tahniah teman ucapkan kepada Port Swettenham Bicycle Classic dan Majlis Perbandaran Klang diatas usaha pengendalian yang begitu terurus lagi teratur.
Untuk laporan tidak rasmi pada kali ni, tiadalah teman ingin berjamah kata panjang lebar. Biarlah gambar-gambar yang dimuat-turunkan ini menjadi bahan bicara kepada jalan cerita yang begitu manis sekali. Ketibaan teman di lokasi disambut dengan rakan taulan yang memperagakan pelbagai gaya busana. Tenggelam teman dibuatnya dek kerana kehebatan busana mereka semua. Bahkan basikal mereka semua pun gah belaka. Teman punya basikal ni cap ayam serama jer yop. Sambutan penyertaan pada acara ni telah menambat hampir 300 peserta. Rata-rata ramai yang datang pada kali ni lebih kepada mewakili kelab dan persatuan.
Pada babak kayuhan pula. Hanya tiga perkataan yang boleh teman gambarkan. Nyaman, santai dan lancar. Nyaman dek kerana cuaca pagi yang tidak panas dengan iklim yang mendung dan sekali-sekala angin bayu meniup sepoi-sepoi bahasa. Perjalanan trafik juga dikawal selia oleh polis trafik dan para pegawai MPK menjadikan arus kayuhan kami begitu lancar dan santai. Dengan gaya busana kami yang unik beserta basikal masing-masing yang begitu klasik, menyebabkan ramai orang awam yang melihat terpegun malah ada yang tercengang serta tidak terkelip-kelip mata dibuatnya.
Selepas selesai aktiviti kayuhan, para peserta semua dikehendaki berkumpul di dalam perkarangan stadium untuk jamuan makan dan pelbagai slot aktiviti. Selesai makan bermulalah acara cabutan bertuah dan beberapa pertandingan seperti basikal tercantik, basikal terbaik, busana tercantik dan penyertaan kelab teramai. Tahniah diucapkan kepada para peserta yang berjaya menjuarai pertandingan tersebut. Alhamdulillah rezeki teman juga kerana telah dipilih antara cabutan bertuah.
Al-kisah begitulah jari jemari ini menaip papan kekunci komputer, menyusun huruf-huruf, membentuk ayat-ayat yang melengkapkan laporan tidak rasmi mengenai acara kayuhan pada kali ini. Akhir kata dan semestinya harapan teman, semoga persahabatan yang terjalin yang merangkumi badan-badan kelab berbasikal klasik ini senantiasa mekar muhibbah seumpamanya juga kita melestarikan kemartaban khazanah basikal klasik itu sendiri. Syabas dan terbaik untuk semua. Semoga kita berjumpa lagi. Jangan lupa video babak aksi kayuhan akan menyusul dalam waktu terdekat. Tungguuuuuuuu.
Wednesday, February 13, 2013
Kempen Menyokong Kayuhan Basikal Klasik Bes Jelajah Selangor 2013
Budiman Berbasikal Klasik sekali lagi dengan terujanya menyokong sekaligus akan menyertai acara "Kayuhan Basikal Klasik BES Jelajah Selangor 2013". Acara ini merupakan anjuran dari Majlis Perbandaran Klang dan dikelolakan oleh Port Swettenham Bicycle Classic (PSBC). Bersama-samalah kita menjayakan acara ini yang merupakan kali ke dua diaturkan oleh pihak PSBC. Buat pertama kalinya Budiman Berbasikal Klasik tidak akan datang berseorangan. Ini kerana teman akan disertai bersama rombongan rakan-rakan dari mukim tempat tinggal yang sama iaitu Puchong Classic Bicycle Club (PCBC) yang kebetulan baru ditubuhkan.
Semoga dapatlah hendaknya dihimpunkan seberapa ramai pencinta, pemilik basikal klasik tidak kira terdiri daripada kelab, persatuan mahupun individu. Ayuh kilat dan gilapkan sepeda klasik anda kerana banyak pertandingan dan hadiah yang ditawarkan. Marilah kita kayuh dengan penuh gaya, diatas basikal yang berestetika klasik. Jom reramai pakat serbu ke Stadium Padang Sultan Sulaiman Klang pada 17 Februari 2013. Jangan lupa untuk pastikan busana anda disterika dengan teliti. Jumpa anda di sana.
Friday, February 8, 2013
Saturday, February 2, 2013
Fenomena Dikejar Anjing
Pernahkah dalam sejarah hidup anda dikejar oleh anjing? Jika
dilakukan kaji selidik, boleh jadi 5 daripada 10 orang pernah melalui
detik-detik cemas dikejar anjing. Jika ditanya teman, sepanjang hidup ini
sekurang-kurangnya 5 kali pernah melalui peristiwa tersebut. Peristiwa yang terkini
pun baru berlaku sekitar pertengahan tahun lepas dimana teman dikejar oleh
anjing liar semasa berbasikal di sekitar taman perumahan. Mujur anjing tersebut
cuma mengejar untuk detik sekejap sahaja. Hanya sekitar jarak 2 tiang lampu
jalan dan kemudian berhenti patah balik. Setakat ni belum ada peristiwa digigit
lagi. Paling rapat pernah dikejar pun dalam jarak 1 meter.
Maka terdapat dua persoalan yang ingin teman kongsikan.
Pertama: apakah punca yang menyebabkan binatang tersebut (baik liar mahupun yang
bertuan) mengejar anda (baik berjalan kaki mahu pun berkenderaan). Kedua:
apakah yang perlu anda buat atau lakukan apabila berdepan dengan situasi
seperti ini?
Terdapat beberapa punca atau faktor yang boleh mencetuskan beberapa kemungkinan
anjing tersebut mengejar. Antaranya:
1) Anda melalui atau menyesuri kawasan wilayah jajahan mereka
yang dirasakan dicerobohi.
2) Anda dianggap sebagai ancaman bilamana anjing tersebut
mempunyai simpanan makanan.
3) Sememangnya sudah menjadi lumrah sifat anjing tersebut yang
suka mengejar.
Seterusnya kita lihat pula apakah reaksi anda apabila berdepan dengan situasi seperti diatas.
1) Tindak balas yang lazim berlaku secara automatiknya adalah
anda akan berlari dan lari dan lari daripada terus dikejar rapat. Cara ini
begitu mujarab bagi teman berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui dimana
anjing tersebut selalunya akan berhenti mengejar pada jarak tertentu.
2) Jika anda berdarah pahlawan, silakan mendepani anjing
tersebut dengan menyerangnya menggunakan apa jua cara atau taktik mengikut keselesaan
dan persekitaran. Maka anjing tersebut mungkin akan beredar lantaran provokasi
lantang yang anda lakukan.
3) Dan jika anda berani serta berhati kering boleh juga anda
berhenti bergerak dan tunduk ibarat mengambil sesuatu. Maka anjing tersebut
mungkin akan beredar kerana beranggapan sesuatu objek akan direjam atau
dilontar ke arahnya.
Saranan dan perbicaraan diatas adalah berdasarkan pengalaman serta
pendapat peribadi sahaja. Tiada siapa yang berhasrat agar dikejar oleh anjing
apatah lagi sekadar mencuba atau mengambil risiko dengan mengujikaji kemujarabannya. Semoga aktiviti kayuhan basikal
anda akan senantiasa selamat tanpa sebarang gangguan atau halangan.
Subscribe to:
Posts (Atom)