Thursday, January 24, 2013

Pengalaman Kayuhan Sambutan Maulidul Rasul

Alhamdulillah. Selesai sudah satu lagi acara kayuhan. Kayuhan ini bersempena dengan sambutan Maulidul Rasul S.A.W, yang berlangsung di Putrajaya serta diundang khas oleh pihak JAKIM. Secara keseluruhannya sambutan majlis tersebut berlangsung dengan sempurna. Cuaca awal pagi yang damai dan nyaman membuatkan kami bertambah semangat. Hatta walaupun semua para peserta disyorkan untuk tiba dan berkumpul di Masjid Mizan Putrajaya sebelum jam 6 pagi, kesempatan ini diambil untuk menunaikan solat subuh buat pertama kalinya di masjid tersebut. Terpegun melihat keindahan struktur masjid itu yang bertemakan ruang terbuka (open space). Setibanya di perkarangan masjid tersebut jam 5.25 pagi. Saudara Imbram Talib dan rombongan dari Kelab Jalan Khamis telah pun ada di sana semasa ketibaan teman. Tabik kepada rombongan Kelab Jalan Khamis kerana mereka telah pun berada di masjid tersebut semenjak dari jam 12 tengah malam lagi.


Setelah selesai solat subuh berjemaah, maka persiapan untuk perbarisan pun bermula. Pra permulaan kayuhan bermula dari masjid Mizan hingga ke jalan utama Dataran Putrajaya. Semasa pra kayuhan ini terdapat laluan jalan yang mendaki bukit. Adegan seperti ini memotivasikan kami untuk lebih semangat dan menceriakan suasana. Setibanya di jalan utama untuk berkumpul semula, sesi ucapan kata aluwan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dikhabarkan majlis sambutan Maulidul Rasul pada kali ini membawa sedikit kelainan. Bukan setakat perbarisan berjalan kaki malah keunikkan yang ditampilkan juga termasuk kontinjen dari kumpulan motor berkuasa tinggi, perbarisan dari udara oleh para payung penyunsur (glider), perbarisan menerusi air yang menggunakan kapal-kapal kecil, kontinjen kumpulan berkuda dan semestinya perbarisan menggunakan basikal tua.


Maka pelepasan pun bermula dengan bait-bait selawat dan salam kepada Rasulullah S.A.W. dimana  haluan perarakan bermula dari Dataran Putrajaya menuju ke Masjid Putra. Sesiapa yang menonton kaca tv pada ketika itu mungkin dapat menyaksikan kami di siaran TV1 kerana liputan rakaman dibuat secara langsung. Berkayuh bersama pelbagai kontinjen dengan suasana rasmi apatah lagi berperingkat kebangsaan, memberikan suatu pengalaman baru lebih-lebih lagi kepada teman yang baru bertatih di arena ini. Sebaik tiba di perkarangan Masjid Putra, kami pun seperti biasa mengatur susunan basikal masing-masing dengan berlatar-belakangkan masjid tersebut. Aktiviti wajib kami seterusnya tidak lain dan sudah tentunya sesi bertangkap gambar untuk kenang kenangan. Diselang-seli dengan orang awam yang tidak putus-putus menjenguk serta mengunjungi kontinjen basikal tua. Sesudah usai jamuan yang disediakan dan setelah menerima hadiah saguhati iaitu senaskah Al-Quran beserta tafsir pimpinan Ar-Rahman, kami pun berangkat kembali ke tempat mula berkumpul di Masjid Mizan.


Kisah coretan tidak berakhir disini. Alkisah bermula pulalah sesi mini agenda yakni bertandang ke Restoran Ipoh Station di Bukit Puchong. Terima kasih kepada tuan rumah Ipoh Station yang mempelawa kami semua ke restorannya untuk menikmati hidangan makan tengah hari. Makanan yang sungguh teramat begitu lazat dengan atmosfera rungan kedai yang begitu antik lagi klasik, begitu terpaut lagi maut ke hati kami kerana apabila minat berjumpa realiti membangkitkan suasana harmonis yang bersinkronisasi dengan jiwa.


Begitulah sedikit sebanyak kesudahan coretan atau laporan tidak rasmi yang boleh dikongsikan bersama. Teman begitu girang, terharu dan bangga kerana hasrat blog ini yang bertujuan untuk memartabatkan kampen aktiviti berbasikal klasik telah menambat, memikat serta memaut citarasa masyarakat. Satu penghormatan yang tinggi bila mana basikal klasik telah pun sampai undangannya ke acara berperingkat kebangsaan. Tahniah. Akhir kalam, teruskan motivasi dalam menggiatkan diri anda menceriakan bumi Malaysia ni dengan berbasikal klasik. Seperti biasa nantikan video babak aksi kayuhannya tidak lama lagi. Tungguuuuuuuuuu.

3 comments:

  1. Coretan terbaik dari Saudara Master Arm...

    ReplyDelete
  2. Coretan terbaik dari Saudara Master Arm...

    ReplyDelete
  3. TQ bro. Sekadar menyampaikan hajat suara hati dan mengisi waktu-waktu yang luang. Juga santapan kenangan manis sesama geng. :D

    ReplyDelete