Tuesday, October 9, 2012

Pengalaman Kayuhan Mengeteh Ke Kafe Ipoh Station

Selesai sudah aktiviti riadah berbasikal klasik di Puchong pada tempoh hari. Alhamdulillah syukur kerana semuanya berjalan dengan lancar dan selamat. Kayuhan teman pada kali ini merupakan yang paling jauh pernah teman kayuh menggunakan basikal tua. Seramai 14 pencinta dan pemilik basikal klasik telah menyertai dan menjayakan aktiviti ini. Masing-masing dengan 3 basikal Chopper dan selebihnya 11 basikal tua. Mereka ada yang datang dari Klang, Banting dan semestinya sekitar kawasan Puchong.


Dataran Tasik di Puchong Perdana merupakan tempat untuk kami berkumpul. Disinilah teman telah berkenalan dengan 11 sahabat baru. Masing-masing dengan basikal mereka yang hebat-hebat belaka. Kami memulakan kayuhan berkonvoi pada petang itu dalam keadaan cuaca yang baik. Perjalanan menuju ke Kafe Ipoh Station memakan masa lebih kurang 25 minit. Perjalanan menuju ke sana amat lancar memandangkan laluan yang kami gunakan adalah menerusi sekitar taman-taman perumahan. Kayuhan santai lagi bersahaja memukau serta memikat mata yang memandang. Apatah lagi masyarakat bandar yang jarang-jarang dapat melihat basikal tua dan chopper beraksi di tengah bandar.


Sebelum menghampiri lokasi yang dituju, konvoi kami disertai bersama oleh pemilik Ipoh Station bersama 2 orang anaknya. Ketiga-tiga beranak ini juga mengayuh basikal tua. Memang tabik hormat dan dasyat. Maka jadilah kami semuanya 14 pengayuh basikal klasik meneruskan perjalanan menuju ke Ipoh Station. Setibanya di sana dengan gaya susunan basikal masing-masing di hadapan Ipoh Station, maka bergemalah bunyi "klik, klik" iaitu acara menangkap gambar.


Sambil mengeteh (minum teh) dan menjamu selera, pelbagai maklumat, pengalaman serta cerita dikongsikan bersama. Kurang lebih satu jam berada di Ipoh Station, kami pun berangkat pulang. Pulang dengan perut kenyang, hati gembira, basikal kilat bergaya, sahabat-sahabat baru yang sekepala. Apa lagi yang boleh teman gambarkan. Sememangnya situasi yang manis untuk dikenang bersama. Teman harap aktiviti seperti ini dapat dijadikan sebagai acara bulanan. Dengan adanya pendedahan aktiviti seperti ini di kawasan bandar-bandar, secara tidak langsung dapat juga menarik minat orang ramai untuk menceburi hobi berbasikal klasik. Jom kempen sihat berbasikal klasik!!

No comments:

Post a Comment