Tuesday, September 17, 2013
Video Kayuhan NST-Cyberjaya Green Ride 2013
Video kayuhan cyber3 from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.
Berikut merupakan video bagi acara kayuhan basikal NST-Cyberjaya Green Ride 2013. Rakaman yang telah disunting selama lapan minit ini memaparkan babak serba-serbi daripada persiapan sebelum bermulanya kayuhan hinggalah ke babak penyudah kayuhan. Inilah paparan yang membawa sedikit kelainan berbanding video yang lain kerana program ini merupakan himpunan pelbagai jenis basikal. Selamat menonton dan teruskan semarak anda mengabadikan basikal klasik.
Saturday, September 14, 2013
Pengalaman Kayuhan NST-Cyberjaya Green Ride 2013
Buat dua minggu berturut-turut, aktiviti mingguan Budiman Berbasikal Klasik diisi dengan program kayuhan basikal. Kedua-duanya merupakan acara rasmi yang mendapat liputan meluas dari pihak media massa. Bagi program minggu ini pula telah berlangsungnya kayuhan basikal NST-Cyberjaya Green Ride 2013. Acara ini terbuka kepada semua jenis basikal tidak kira basikal lumba, mountain bike mahupun basikal klasik. Tujuan kayuhan ini diadakan adalah untuk memupuk masyarakat agar mengamalkan cara hidup sihat dengan berbasikal disamping mempromosikan pusat multimedia Cyberjaya.
Bagi teman inilah acara kayuhan yang paling mencabar pernah disertai. Kejang dan lenguh kaki dibuatnya. Ingin tahu sebabnya? Kenalah baca coretan ini sampai habis. Seramai hampir 20 sahabat berbasikal klasik telah hadir dalam acara ini. Kebanyakan yang hadir menetap di sekitar Lembah Klang. Tidak ketinggalan sahabt-sahabat yang datang jauh dari selatan negeri bersejarah mewakili Kelab Sepeda Tua Melaka. Kehadiran kami di sana dikerumuni oleh ratusan peserta berbasikal jenis lain yang majoritinya berbasikal mountain bike. Kumpulan kamilah yang menjadi tumpuan orang ramai tidak kira peserta mahupun wakil media. Ada yang ingin bergambar. Ada juga yang sekadar ingin membelek-belek basikal.
Kumpulan basikal klasik juga diberi pengiktirafan untuk memulakan kayuhan dari barisan hadapan sekali menjangkaui hampir seribu peserta lain. Setelah isyarat pelepasan berbunyi, maka bergeraklah kami mengepalai rombongan seribu pengayuh basikal menyusuri jalan di Cyberjaya. Walaupun jarak kayuhan rasmi adalah 20 kilometer, kumpulan kami diberi pilihan untuk mengayuh sekitar 5 kilometer melewati laluan bagi ketegori fun ride. Pun begitu di awal peringkat kayuhan, stamina kami begitu diuji bilamana perlu mengharungi laluan mendaki sejauh lebih kurang 600 meter. Tetapi dengan suasana kayuhan yang diselangi jenaka serta berseloka, kumpulan basikal klasik berjaya melepasi pendakian tersebut dengan penuh gaya dan santainya. Setibanya ke garisan penamat, tempat pertama yang kami tuju tidak lain dan tidak bukan semestinya sumber air. Lagi bertepatan air yang disediakan pula adalah air milo. Lagi memuaskan hati kami apabila air milo itu diberikan secara percuma tanpa had. Hilang penat dan dahaga. Tetapi perut belum kenyang lagi. Justeru kami pun serbu ke lori Along yang kebetulan membuat jualan nasi lemak kayu apinya di sana. Terbaik. Setelah bergambar, sesi bebas bersiar-siar dan berbual akhirnya kami masing-masing pun pulang.
Begitulah sedikit sebanyak luahan yang boleh dikongsikan bersama. Walaupun badan penat terutamanya pada bahagian kaki, hati ini merasa puas kerana tercapainya hasrat teman untuk berkongsi pengalaman dengan merapatkan masyarakt berbasikal tentang keunikan basikal klasik. Bayangkan hanya kurang dari dua jam sahaja teman bersama pencinta basikal kategori lain ini. Seramai belasan orang daripada mereka telah mengintegorasi teman tentang bagaimana memperolehi basikal klasik lantas ingin menceburi dan menyertai komuniti berbasikal klasik. Hebat bukan? Begitulah aura basikal klasik. Mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Nantikan videonya. Tungguuuuu.
Thursday, September 12, 2013
Kempen Menyokong Kayuhan NST-Cyberjaya Green Ride 2013
Buat dua minggu berturut-turut, Budiman Berbasikal Klasik sekali lagi menyokong dan akan menyertai satu lagi acara kayuhan rasmi iaitu "NST-Cyberjaya Green Ride 2013". Acara besar-besaran ini akan berlangsung pada hari Sabtu ini bersamaan 14 September 2013. Tujuan utama kayuhan ini diadakan ialah untuk mempromosikan Cyberjaya yang serba moden ini kepada masyarakat umum disamping menggalakkan kempen beriadah diantara pelbagai lapisan keluarga dan badan-badan korporat. Para peserta diberi dua jenis kategori kayuhan untuk dipilih. Kayuhan sejauh 20 kilometer atau kayuhan santai (fun ride). Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman-laman web yang tertera seperti di atas.
Budiman Berbasikal Klasik menyeru semua sahabat-sahabat yang berbasikal klasik agar turut serta dalam acara ini. Ini kerana kumpulan basikal klasik akan diberi pengiktirafan oleh pihak panganjur untuk berada di barisan hadapan sekali mejangkaui seribu pengayuh basikal yang lain semasa acara pelepasan nanti. Ayuh kilat dan gilapkan basikal klasik anda. Peluang keemasan untuk kita memartabatkan dan melestarikan basikal klasik kepada masyarakat umum. Mari kita kayuh dengan penuh gaya, di atas basikal yang berestetika klasik. Jom pakat ramai-ramai serbu Taman Tasik Cyberjaya Sabtu ini.
Wednesday, September 11, 2013
Video Kayuhan di Negeri Sembilan Dari Berita TV9
Video kayuhan n9 tv9 from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.
Kepada sahbat-sahabatku yang terlepas peluang menonton rakaman dari mana-mana liputan berita tentang kayuhan merdeka basikal tua di Negeri Sembilan, maka inilah diantara videonya. Petikan video ini dirakam dari paparan berita jam 8 malam, TV9. Satu-satunya rencana dari pihak wartawan tv yang sempat teman rekodkan. Walaupun hanya sekadar seminit lebih sahaja yang dipertontonkan tetapi cukup puas untuk menggamit memori yang indah. Selamat menonton.
Tuesday, September 10, 2013
Video Kayuhan Merdeka Basikal Tua di Negeri Sembilan
Acara Kayuhan Merdeka Basikal Tua Negeri Sembilan from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.
Rasanya macam tak sabar saja nak menunggu video dimuat turun esok. Apa kata kita pertontonkan hari ini juga. Jadi inilah videonya. Sekadar video amatur Kayuhan Merdeka Basikal Tua di Negeri Sembilan. Video yang berlangsung hampir enam minit ini memaparkan sebahagian babak sebelum kayuhan dimulakan dan selebihnya babak-babak aksi kayuhan sehingga ke destinasi Seri Menanti. Harap terhibur dengan paparan yang tidak seberapa. Ini sahaja yang teman mampu untuk kenangan kita bersama. Ayuh terus maju ke hadapan wahai sahabat-sahabatku sekalian bersama basikal klasik yang dicintai. Kita berjumpa di lain acara pula. InsyaAllah.
Subscribe to:
Posts (Atom)
