Thursday, September 12, 2013

Kempen Menyokong Kayuhan NST-Cyberjaya Green Ride 2013


Buat dua minggu berturut-turut, Budiman Berbasikal Klasik sekali lagi menyokong dan akan menyertai satu lagi acara kayuhan rasmi iaitu "NST-Cyberjaya Green Ride 2013". Acara besar-besaran ini akan berlangsung pada hari Sabtu ini bersamaan 14 September 2013. Tujuan utama kayuhan ini diadakan ialah untuk mempromosikan Cyberjaya yang serba moden ini kepada masyarakat umum disamping menggalakkan kempen beriadah diantara pelbagai lapisan keluarga dan badan-badan korporat. Para peserta diberi dua jenis kategori kayuhan untuk dipilih. Kayuhan sejauh 20 kilometer atau kayuhan santai (fun ride). Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman-laman web yang tertera seperti di atas. 

Budiman Berbasikal Klasik menyeru semua sahabat-sahabat yang berbasikal klasik agar turut serta dalam acara ini. Ini kerana kumpulan basikal klasik akan diberi pengiktirafan oleh pihak panganjur untuk berada di barisan hadapan sekali mejangkaui seribu pengayuh basikal yang lain semasa acara pelepasan nanti. Ayuh kilat dan gilapkan basikal klasik anda. Peluang keemasan untuk kita memartabatkan dan melestarikan basikal klasik kepada masyarakat umum. Mari kita kayuh dengan penuh gaya, di atas basikal yang berestetika klasik. Jom pakat ramai-ramai serbu Taman Tasik Cyberjaya Sabtu ini.

Wednesday, September 11, 2013

Video Kayuhan di Negeri Sembilan Dari Berita TV9


Video kayuhan n9 tv9 from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.

Kepada sahbat-sahabatku yang terlepas peluang menonton rakaman dari mana-mana liputan berita tentang kayuhan merdeka basikal tua di Negeri Sembilan, maka inilah diantara videonya. Petikan video ini dirakam dari paparan berita jam 8 malam, TV9. Satu-satunya rencana dari pihak wartawan tv yang sempat teman rekodkan. Walaupun hanya sekadar seminit lebih sahaja yang dipertontonkan tetapi cukup puas untuk menggamit memori yang indah. Selamat menonton. 

Tuesday, September 10, 2013

Video Kayuhan Merdeka Basikal Tua di Negeri Sembilan


Acara Kayuhan Merdeka Basikal Tua Negeri Sembilan from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.

Rasanya macam tak sabar saja nak menunggu video dimuat turun esok. Apa kata kita pertontonkan hari ini juga. Jadi inilah videonya. Sekadar video amatur Kayuhan Merdeka Basikal Tua di Negeri Sembilan. Video yang berlangsung hampir enam minit ini memaparkan sebahagian babak sebelum kayuhan dimulakan dan selebihnya babak-babak aksi kayuhan sehingga ke destinasi Seri Menanti. Harap terhibur dengan paparan yang tidak seberapa. Ini sahaja yang teman mampu untuk kenangan kita bersama. Ayuh terus maju ke hadapan wahai sahabat-sahabatku sekalian bersama basikal klasik yang dicintai. Kita berjumpa di lain acara pula. InsyaAllah.
 

Monday, September 9, 2013

Pengalaman Kayuhan Merdeka basikal Tua Negeri Sembilan

Sudah sekian lama rasanya Budiman Berbasikal Klasik tidak menyertai mana-mana acara rasmi berbasikal klasik. Sekiranya para pengunjung sekalian setia mengikuti blog ini, kali terakhir penyertaan yang disertainya adalah pada bulan Mac 2013 iaitu acara kayuhan di bandar Klang. Masa berlalu dengan begitu pantas. Bulan puasa, hari raya, merdeka, semuanya telah berlalu bagai kerdipan cahaya kilat.


Pada 8 September 2013 telah berlangsungnya satu acara kayuhan basikal klasik di Negeri Sembilan. Kali ini teman tidak melepaskan peluang untuk sertai. Acara ini berlangsung di Bandar Diraja Seri Menanti , Kuala Pilah dan dianjurkan oleh Kelab Basikal Tua Negeri Sembilan. Terlebih dahulu teman ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada kelab pihak penganjur (diantara wakilnya atuk Anuar Abu, saudara Ujang Apit dan saudara Amran Yahya) kerana telah mengelolakan aktiviti ini dengan begitu sempurna, begitu santai, begitu tersusun, begitu menghiburkan para pesertanya. Walaupun teman diberitahu bahawa acara ini hanya dirancangkan kurang seminggu, tetapi kerjasama yang diberikan oleh ahli-ahli KBTN9 begitu mengujakan dan harus dicontohi. 


Perjalanan dari Puchong ke Kuala Pilah mengambil masa lebih kurang 1 jam 15 minit. Sejuk mata memandang. Itu saja ungkapan sepanjang perjalanan terutamanya di daerah Kuala Pilah kerana persekitaran kampung dan tamannya begitu damai dan indah sekali. Setibanya di lokasi acara, lebih dari separuh para peserta telah berada di situ dengan persiapan basikal dan busana yang hebat-hebat belaka. Busana unit uniform ketenteraan adalah satu kemestian bagi sesetengah para peserta lebih-lebih lagi dengan tema kemerdekaaan yang dibawakan oleh pihak penganjur. Busana teman macam biasalah santai-santai sempoi gitu.


Sebelum kayuhan dimulakan, para wartawan dari pelbagai wakil (TV3, TV9, Bernama) memulakan tugasan mereka dengan merakam serta menemubual sebahagian dari para peserta. Teman juga tidak ketinggalan ditemuramah. Terketar-ketar dan tergagap-gagap juga dibuatnya. Maklumlah pertama kali. Perjalanan kayuhan adalah dari tapak pasar Tanjung Ipoh menuju ke Bandar Diraja Seri Menanti. Jarak perjalanan pula lebih kurang 9 km dimana 2 km pertama merupakan laluan jalan besar dan 7 km bakinya laluan kampung. Sepanjang acara-acara kayuhan rasmi yang teman telah ikuti, inilah merupakan kayuhan yang paling tenteram dan damai sekali. Bayangkan kayuhan pada pukul 10 ke 11 pagi tetapi suasana dan iklimnya pula bagaikan baru pukul 8 pagi. Sejuk. Rumah-rumah kampung berbentuk tradisional tersergam indah di sepanjang perjalanan. Terasa macam nak hijrah ke sana dibuatnya.


Istana lama Seri Menanti adalah destinasi penghujung kayuhan. Tak terkata melihat seni binanya. Besar tersergam indah. Pembinaan kayu-kayu yang tidak dipaku. Hanya pasak diantara satu sama lain. Di sini kami meluangkan masa bergambar dan sedikit aktiviti kecil penyampaian hadiah serta penghargaan kepada peserta-peserta yang terpilih. Kemudian disusuli dengan jamuan makan yang disediakan oleh pihak penganjur. Selepas makan dan berbual panjang maka masing-masing pun berangkat pulang ke rumah.  Al-kisah berakhirlah laporan dari sanubari teman yang tidak seberapa ini mengenai acara tersebut. Begitu banyak kenangan manis. Sungguh lumayan harganya jalinan persahabatan baru. Sungguh tinggi nilainya ukhuwah persahabatan lama. Semuanya diperolehi dalam acara tersebut. Semoga berkekalan hendaknya disamping basikal-basikal klasik tersayang. Nantikan videonya pula pada esok hari. Tungguuuuuuuu.

Tuesday, September 3, 2013

Kempen Menyokong Kayuhan Merdeka Basikal Tua Negeri Sembilan


Sebagai permulaan bagi edisi bulan September 2013, Budiman Berbasikal Klasik dengan ini menyokong sekaligus akan menyertai acara "Kayuhan Merdeka Basikal Tua" yang dianjurkan oleh Kelab Basikal Tua Negeri Sembilan. Aktiviti ini akan berlangsung di Bandar Diraja Seri Menanti daerah Kuala Pilah dan akan diadakan pada hari Ahad bersamaan 8 September 2013. Mari kita sama-sama meriahkan acara ini. Ayuh kilat dan gilapkan sepeda klasik anda. Dikhabarkan media dari TV3, TV9 dan Bernama akan turut hadir bagi merancanakan acara ini. Jom kita kayuh dengan penuh gaya, di atas basikal yang berestetika klasik. Jom ramai-ramai pakat serbu Seri Menanti pada hari Ahad ini.