Sunday, August 10, 2014

Pautan Antara Syawal, Ogos dan Merdeka.

 Semacam kurang percaya. Betul ke mesin berat badan ni? Mungkin rosak kot. Mungkin tidak. Tapi bacaannya tetap sama. Hampir naik dua kilogram. Masih kurang puas hati. Baru-baru ni terserempak dengan mesin berat badan di pusat membeli-belah. Memang sah, mesin berat badan di rumah tidak rosak. Penangan jamuan-jamuan rumah terbuka sempena Aidilfitri. Tapi ikutkan sekarang ini kita baru saja berada di pertengahan Syawal, namun sudah naik hampir dua kilogram. Ditambah pula dengan tubuh badan ini yang begitu pasif tanpa sebarang aktiviti tangkas. Semenjak satu Syawal hinggalah artikel ini dinukilkan, basikal di teratak itu belum disapa lagi. Jangan katakan sapa, menjeling pun tidak kesampaian. Kesuntukkan masa. Keterbatasan waktu. Manakan tidaknya, berjela-jela undangan rumah terbuka yang menjangah ke telefon mudah alih. Jika waktu itu tiada undangan, pintu rumah teman pula diketuk menerima kunjungan tetamu. Begitulah nikmat pasca Hari Lebaran. Berkunjung-kunjungan dan ziarah-menziarahi. Menjalinkan ukhuwah serta mengeratkan tali persaudaraan.


Bulan Ogos 2014. Begitu sinonim dengan sambutan Hari Merdeka yang jatuh pada setiap 31 Ogos. Hari Merdeka pula begitu sinonim dan selalu dikaitan dengan entiti basikal klasik sebagai satu simbol atau ikon. Ada sambutan hari merdeka, maka sudah tentu akan ada aktiviti yang bersangkutan dengan basikal klasik. Ini terbukti bilamana setiap tahun sambutan hari merdeka menjelang, ada saja undangan-undangan acara rasmi yang dikhususkan untuk kategori basikal klasik. Tidak terkecuali juga untuk tahun 2014 ini. Desas-desus kedengaran sudah ada rancangan yang bermanfaat untuk pemilik basikal klasik. Teman yakin walau di mana pelusuk negeri sekali pun, pasti akan ada aktivti-aktiviti menarik yang dikhaskan untuk pemilik-pemilik basikal klasik. Baik melalui acara rasmi mahupun persendirian. Kiranya teman tidak dapat turut serta, Budiman Berbasikal Klasik akan sentiasa memberi sokongan terhadap apa jua aktiviti-aktiviti riadah berbasikal klasik yang digiatkan baik dari selatan, utara, pantai timur, mahupun di luar semenanjung. Semoga kita sama-sama terhibur dan dapat meluangkan waktu pada bulan merdeka ini dengan aktiviti yang berfaedah bersama basikal kesayangan kita. Sekian.