Wednesday, July 30, 2014
Foto Pilihan Bulan Julai 2014
Inilah dia gambar pilihan Budiman Berbasikal Klasik bagi bulan Julai 2014. Memandangkan kita sekarang berada di musim perayaan Aidilfitri, maka kilauan cahaya api pelita amat sesuai dijadikan sisipan fokus dalam mewarnai panorama pilihan gambar tersebut. Sememangnya begitu menambat hati apatah lagi dikerumuni suasana tumbuhan hijau yang damai serta sebuah basikal klasik yang mudah membawa kisah nostalgia di kampung pedalaman. Menggamit kenangan silam. Dengan ini berakhirlah sudah perkongsian ceritera seorang budiman dalam menyelusuri edisi bulan Julai 2014. Semoga terhibur dan nantikan edisi untuk bulan seterusnya tidak lama lagi.
Sunday, July 27, 2014
Perutusan Aidilfitri
Bulan Ramadhan telah pun berlabuh dan menutup tirainya. Sebulan berpuasa. Bukan setakat menahan lapar dan dahaga. Malah mengekang dan menahan hawa nafsu dari pelbagai macam ragam perkara yang bersifat lagha. Teman berharap kita semua menperoleh kejayaan (dalam erti kata mengecapi keimanan dan ketakwaan yang sebenarnya) dengan penuh keinsafan dan kesedaran. Semoga semua amalan yang kita laksanakan sepanjang berada di dalam madrasah Ramadhan ini diredhai oleh-Nya. Maka kini tiba waktunya. Setahun menghilang, sekarang menjelang. Masa untuk kita menyelak tabir bulan Syawal yang datang bertandang mengunjungi umat islam untuk tempoh tiga puluh hari berikutnya. Mood sambutan raya Aidilfitri semakin terasa bahangnya. Lagu-lagu raya berkemundang di sana sini. Lebuhraya sesak dan padat dibanjiri kenderaan yang berpusu-pusu balik kampung. Inilah hari yang dipenuhi dengan suasana riang ria. Hari yang patut kita sambut dan rai dengan rasa penuh kesyukuran tak terhingga.
Waktu terus berlalu, lembaran demi lembaran telah dilalui. Coretan demi coretan telah dipenuhi. Kadang tak bererti, kadang tanpa makna, atau mungkin kadang memualkan. Dikesempatan ini Budiman Berbasikal Klasik ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam muslimin muslimat dan mukminin mukminat sekalian. Sebelum
takbir berkumandang, sebelum ajal menjemput, sebelum jaringan internet
tergendala, terimalah kemaafan dari teman buat para pengunjung sekalian. Kepada mereka yang mengenali diri teman yang serba daif ini, maaf dan ampun dipinta kiranya terdapat apa jua kekhilafan baik secara langsung mahupun tidak, baik disedari mahupun tidak. Tak selalunya mata ini memandang dengan ramah, hati menilai dengan jernih dan mulut berbicara dengan santun. Oleh itu sepuluh jari teman hulurkan dengan ingatan maaf zahir dan batin. Sambutlah hari kemenangan ini dengan penuh bahagia dan syukur disamping keluarga tercinta. Ingatlah, dalam kita bersuka ria, pasti ada di luar sana yang berduka dan kurang bernasib baik. Semoga diberkati.
Monday, July 21, 2014
Sketsa Jenaka Bulan Julai 2014
Teman tertanya-tanya pada diri sendiri, masih ramaikah lagi masyarakat umat islam yang bertandang ke masjid bagi mendirikan solat terawih? Ramaikah lagi warga umat islam yang konsisten dalam meraikan ibadah terawih di bulan Ramadhan yang berbaki kurang dari tujuh hari lagi? Kerana secara kelazimannya seolah-olah telah menjadi satu fenomena di penghujung Ramadhan ini berlakunya kemerosotan bilangan para jemaah baik di masjid mahupun di surau. Jika di awal ramadhan barisan saf penuh hingga ke luar ruangan dewan solat, kini hanya suku sahaja ruangan dewan solat yang digunakan. Selebih ruangan belakang tu ibarat boleh digunakan untuk bermain bola tampar. Semoga kita semua sentiasa diberi kekuatan dan istiqomah dalam melaksanakan segala tuntutan-tuntuntan wajib mahupun sunat bertepatan dengan peranan kita sebagai seorang mukmin yang senantiasa mengharapkan pengampunan dan rahmat dari Allah s.w.t. Ameen. InsyaAllah.
Sehubungan itu teman kongsikan di sini sketsa jenaka bagi edisi bulan Julai 2014. Pelbagai sinopsis atau rangkuman yang boleh kita ketengahkan mengenai rumusan jalan cerita gambar tersebut. Teman yakin dari mata-mata yang melihat akan gambar tersebut dapat merumuskannya berdasarkan faktor kuasa ekonomi yang semakin mencabar atau kekangan bajet yang mengakibatkan peralihan dari penggunaan kereta kepada basikal. Tetapi lain pula sisip pandangan teman terhadap sketsa ini. Peranannya lebih kepada praktikalitinya di dalam bulan puasa ini. Teman kaitkan peralihan aplikasi menggunakan kereta kepada basikal bersesuaian dengan rasional memanfaatkannya berdasarkan aktiviti harian kita di sepanjang bulan puasa.
Umpamanya apa kata anda beralih dari memandu kereta kepada mengayuh basikal taktala hendak ke masjid bagi menunaikan solat terawih, bertadarus, beriktikaf dan sewaktu dengannya. Ataupun misalan lain pula jika sebelum ini anda menaiki kereta untuk membeli juadah berbuka puasa di bazar, pasar, kedai runcit dan seangkatan dengannya, apa kata anda beralih menggunakan basikal pula. Ternyata dengan peralihan kepada mengayuh basikal sudah pasti tidak akan timbul isu kerumitan mencari ruang parkir, tempat letak kenderaan yang terhad, kesesakkan lalu lintas dan sebagainya. Secara tidak langsung badan anda juga akan jadi lebih cergas dan setidaknya dapat juga menjimatkan belanja bahan api petrol serta boleh melanjutkan tempoh kos penyelenggaraan kenderaan anda. Hasilnya anda akan tampak lebih segak, cerdas dan kurang papa menjelang hari raya. Ya, teman mempelawa anda semua untuk mencuba pendekatan ini. Marilah kita berbasikal. Ayuh gantungkan kenderaan anda buat seketika. Bukakanlah kunci basikal anda dan nikmatilah gaya hidup sihat dengan berbasikal.
Umpamanya apa kata anda beralih dari memandu kereta kepada mengayuh basikal taktala hendak ke masjid bagi menunaikan solat terawih, bertadarus, beriktikaf dan sewaktu dengannya. Ataupun misalan lain pula jika sebelum ini anda menaiki kereta untuk membeli juadah berbuka puasa di bazar, pasar, kedai runcit dan seangkatan dengannya, apa kata anda beralih menggunakan basikal pula. Ternyata dengan peralihan kepada mengayuh basikal sudah pasti tidak akan timbul isu kerumitan mencari ruang parkir, tempat letak kenderaan yang terhad, kesesakkan lalu lintas dan sebagainya. Secara tidak langsung badan anda juga akan jadi lebih cergas dan setidaknya dapat juga menjimatkan belanja bahan api petrol serta boleh melanjutkan tempoh kos penyelenggaraan kenderaan anda. Hasilnya anda akan tampak lebih segak, cerdas dan kurang papa menjelang hari raya. Ya, teman mempelawa anda semua untuk mencuba pendekatan ini. Marilah kita berbasikal. Ayuh gantungkan kenderaan anda buat seketika. Bukakanlah kunci basikal anda dan nikmatilah gaya hidup sihat dengan berbasikal.
Thursday, July 17, 2014
Sepintas Lalu, Sepuluh Malam Terakhir.
Indahnya suasana malam dipenuhi bintang, Putih warnanya bagai berlian berkilauan, Gembiranya ayah sambil tersenyum senang, Melihatkan anaknya fasih membaca Al-Quran. |
Sungguh pantas masa beredar. Sedar tak sedar telah berlalulah separuh
Ramadhan bagi tahun 1435 Hijrah. Sejenak nanti akan bertembunglah kita
pula dengan baki sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan. Pada sepuluh hari terakhir inilah
terkandung di dalamnya satu malam yang teristimewa. Malam yang telah
dijanjikan dengan pelbagai kelebihan dan ganjaran. Malam yang paling
baik, yang terbaik, yang lebih baik dari himpunan seribu bulan. Malam
yang hanya insan-insan yang terpilih sahaja yang akan merasai dan
menikmati fadilatnya. Itulah ia malam al qadar. Atau lailatul qadar.
Sekadar perkongsian mengenai sebutannya bilamana kita menyebut lailatul
qadar, tidak perlu untuk melafazkan "malam lailatul qadar". Kerana laila
itu sudah pun bermaksud malam dalam bahasa arab. Jika kita sebut "malam
lailatul qadar" serupalah kita menyebutnya secara jamak atau lebih dari
satu iaitu "malam-malam qadar". Teman doakan agar kita semua akan menjadi insan-insan
yang terpilih dalam mengecapi ganjaran dan kenikmatan tersebut. Semoga dirahmati oleh-Nya. Mudah-mudahan insyaAllah.
Friday, July 4, 2014
Kuih Idaman Seorang Budiman
Berbasikal ke bazar membawa raga, Mencari kuih idaman si jejaka, Hijau, kuning, putih, merah saga, Pelbagai aneka juadah ada belaka. |
"Kuih kuih, mari abang, mari kakak, mari adik. Singgah sebentar. Macam-macam kuih yang ada. Haaaa mari singgah tengok-tengok dulu pun boleh. Lima, dua Ringgit." Begitulah laungan bait-bait kata yang sering kedengaran taktala bersiar dan menyusuri gerai-gerai di bazar sempena bulan puasa ini. Saban tahun begitulah kata-kata yang dilontarkan oleh para peniaga terutamanya yang menjual kuih muih. Lebih kurang sama sahaja ayat yang digunakan untuk menarik perhatian dan memikat pengunjung-pengunjung ke gerai mereka. Tetapi ada beberapa ungkapan atau potongan ayat di atas yang dulunya lebih selesa dan tenang bila didengari berbanding pada masa sekarang. Ungkapan ayat tersebut ialah "lima, dua Ringgit". Berbanding selang tiga ke empat tahun lepas pula ialah "empat, seRinggit". Jauh lebih baik selang dua ke tiga tahun terkemudian lagi dengan ayatnya lebih mesra pengguna iaitu "lima, seRinggit".
Begitulah lumrahnya. Kenyataan yang tidak dapat dinafikan dalam menerokai dunia ekonomi kuih-muih. Lima biji, ketul, kepingan atau potongan kuih pada abad ini telah diwartakan secara umumnya berharga dua Ringgit. Bagaimana pendapat anda? Murah? Mahal? Berpatutan? Jika cempedak madu goreng dilabelkan dengan harga dua Ringgit untuk lima ketul, ya itu mungkin berbaloi. Tetapi jika lima ketul cekodok pisang yang besarnya pun tidak sampai diameter duit syiling lima puluh sen, maka pada pengamatan teman itu tidak berbaloi dan setimpal dengan harga dua ringgit. Harga kuih bukanlah apa yang ingin teman nukilkan buat saat ini. Tetapi lebih bersangkut paut dengan jenis kuih yang digemari oleh teman sejak berkurun lamanya. Hanya satu sahaja pilihan kuih yang menjadi idaman sanubari teman. Tiada dua mahupun yang ketiga. Satu jenis sahaja. Kuih yang namanya begitu unik sekali. Sehingga ke saat ini teman masih terpinga-pinga bagaimanakah kuih kegemaran teman ini boleh dikaitkan dengan nama binatang yang begitu gah dan perkasa sekali. Itulah dia Badak Berendam, kuih kesukaan teman.
Satu-satunya gerai di mukin teman yang menjual kuih idaman sanubari. Lumayan sungguh persembahannya. |
Taktala apabila dihidangkan ke dalam sebuah mangkuk. Terserlah kekenyalannya. Terpampang keenakkannya beserta kuahnya yang pekat gebu lagi bercahaya pancaran serinya. |
Ternyata kuih ini teman boleh ketegorikan sebagai kuih yang terancam kepupusannya. Manakan tidaknya purata dalam 15 gerai kuih-muih, hanya satu sahaja yang menyediakan sajian ini. Ataupun purata dalam 4 bazar Ramadhan yang utama atau besar, hanya satu bazar sahaja yang ada gerai menjual kuih ini. Nasib baiklah bazar di taman perumahan teman masih ada satu-satunya gerai yang menjual kuih ini. Terima kasihlah kepada makcik pemilik gerai tersebut yang sudi menyajikan kuih kegemaran teman ini. Jika tidak memang kempunanlah teman ingin menikmatinya sepanjang bulan puasa. Teman siap ambil nombor telefon makcik itu sekiranya ingin buat tempahan di lain musim atau mungkin tidak terjumpa lagi dengan gerainya, maka senanglah teman untuk mencarinya. Alangkah girangnya hati jika gerai makcik itu berada di sebelah rumah teman. Alamatnya memang setiap harilah teman berendam dengan Badak Berendam. Begitulah sedikit celoteh dari papan minda ke lensa komputer. Jumpa lagi di lain waktu. Sekian.
Tuesday, July 1, 2014
Salam Ramadhan 1435H
Selamat bersua kembali. Selamat bertemu semula. Welcome my dear viewers.
Selamat berada di bulan Julai 2014. Ia merupakan bulan yang teristimewa
buat diri teman. Ia merupakan bulan yang terkandung di dalamnya seribu
satu macam nikmat dan kelebihan. Hal demikian kerana bulan ini telah terpaut di dalamnya
dengan kedatangan bulan Ramadhan. Justeru Budiman Berbasikal Klasik
ingin mengambil kesempatan ini dengan mengucapkan selamat menyambut bulan
Ramadhan kepada semua muslimin muslimat sekalian. Semoga diberi kesihat
sempurna, dikurniakan waktu yang lapang, diberikan tenaga yang cukup
untuk melaksanakan pelbagai amal ibadah di bulan yang penuh keberkatan
ini. Walaupun berpuasa tapi sekali sekala jangan lupa untuk luangkan
masa berkayuh sambil pergi bersiar bersama jentera dua roda yang ada di
rumah anda itu. Dikhuatiri merajuk pula jentera kesayangan kita tu jika
tidak dijenguk dan dibelai dalam tempoh 30 hari ini. Setiap kali tibanya
bulan puasa akan pasti membawakan teman kepada ingatan-ingatan yang
cukup teristimewa. Kerana sepanjang hidup teman di bulan puasa telah
terisi dengan susur galur jalan cerita yang memberi seribu satu kenangan
indah. Maaf para pengunjungku sekalian. Tiadalah teman niat untuk
berkongsikan kenangan-kenangan tersebut melalui nukilan ini. Untuk
menjadi adil dan sekadar tidak ingin menghampakan para pembaca blogku
yang mungkin tahap jangkaan ingin tahu telah membuak-buak, teman
lampirkan saja gambar-gambar seperti di bawah sebagai pengganti bual
bicara terhadap perihal tersebut.
Taktala berada di nuuun jauh di sana. Di antara fasa hidup teman yang terpenting dan yang paling dikenang. Titik tolak dari sana yang menghasilkan apa yang teman jadi dan bentuk pada hari ini. |
Walaupun sudah hampir satu abad lamanya, tetapi setiap detik ingatan di sana bersama rakan-rakan yang akrab tidak mungkin akan terpadam. |
Setiap tahun yang dilalui mempunyai denai titian yang bermacam rupa alun gelombangnya. Ana asif wa syukran ya syabab. Wish i could turn back the time. |
Terkini dan terbaru. Bersama keluarga angkatku yang dikasihi. Ayah, Ummi, Amera, Alia dan Afiq. Semoga mendapat keberkatan dan dicucuri rahmat selalu. |
Sebagai
maklumat tambahan mengenai
blog ini, dijangkakan tiada apa-apa aktiviti riadah basikal akan
berlangsung di sepanjang bulan puasa ini. Al maklumlah dan memang
tersedia maklum yang sekarang ni
masa dan waktu lebih ditumpukan kepada peningkatan amal ibadah di bulan
Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Pun begitu teman akan tetap usahakan
agar blog ini terus disajikan dengan pelbagai hidangan menarik
khususnya kepada pencinta beroda dua yang klasik. Disebabkan tiada
aktiviti basikal yang dapat dikongsikan, teman akan khususkan bulan ini
dengan penceritaan yang lebih intim mengenai pengalaman masa silam di
bulan puasa. Sekian untuk sementara
waktu ini. Puasa, jangan tak puasa. ;)
Subscribe to:
Posts (Atom)