Wednesday, April 30, 2014

Foto Pilihan Bagi Bulan April 2014


Berikut adalah gambar yang menjadi pilihan inspirasi hatiku bagi mengisi anugerah gambar terbaik edisi bulan April 2014. Tiada hebat mana pun gambar yang dipilih ini. Akan tetapi ada sesuatu perihal yang membuatkan gambar ini terhangat dan teristimewa. Bukannya selalu diri ini berpeluang untuk bergambar di persekitaran institusi pengajian tinggi awam. Lebih-lebih lagi jika lokasi gambar itu ditangkap berlatarbelakangkan tempat ikonik kepada institusi pengajian tersebut. Inilah dia gambar semasa acara kayuhan Le Tour de UPM. Satu-satunya acara riadah berbasikal yang dapat teman giatkan dan ceburi disepanjang bulan April 2014. Lokasi gambar adalah dataran kecil dengan monumen huruf UPM. Terkenang gemerlapan. 

Secara tidak langsung berakhirlah sudah ceritera teman bagi keseluruhan artikel-artikel pada bulan April 2014 ini. Salah dan silap, kurang atau sedikit, diharapkan dapatlah kiranya menerima kemaafan dari teman ini yang seba serbi terbatas kemampuannya. Nantikan pembukaan tabir bagi edisi bulan lima tidak lama lagi. Selamat beriadah sambil berbasikal. UPM akan senantiasa di ingatan. Sekian.

Tuesday, April 29, 2014

Video Kayuhan Le Tour de UPM


Kayuhan Le Tour de UPM HD. from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.

Seperti kelazimannya bila mana nukilan sesuatu acara dikarangkan, lantas akan disusuli pula dengan muat-turun artikel mengenai video acara tersebut. Justeru tercapailah hajat teman untuk melengkapi keseluruhan laporan tidak rasmi yang merangkumi bingkisan ulasan laporan serta paparan penggambaran video untuk aktiviti Le Tour de UPM. Sudah lama rasanya daya kretiviti otak ini tidak diuji dengan cabaran-cabaran mengolah serta menyunting video rakaman menggunakan aplikasi suntingan dari perisian komputer. Tiga bulan lamanya. Terasa kekok dan ganjil pula bila ingin memulakan semula. Godek punya godek akhirnya dapat juga mengembalikan rentak kemahirannya seperti sedia ada. Alah bisa tegal biasa. Jika diberi perhatian dengan teliti untuk tayangan video ini, anda akan mendapati ada sedikit lonjakkan mutu terhadap visualisasinya. Ini kerana teman telah menemui aplikasi suntingan video terbaru yang lebih menyeluruh dan komprehensif. Tiada banyak butang-butang yang rumit pada papan mukanya (interface) menjadi aplikasi ini lebih mudah dan mesra pengguna.

Oleh itu dipersilakanlah menyaksikan tayangan video yang tidak seberapa ini. Panjangnya lebih kurang lima minit lebih. Paparannya pula berkisarkan adegan-adegan kayuhan dari awal hinggalah ke penghujung acara. Selamat menonton. Sekadar hiburan sampingan demi mengisi masa-masa terluang bersama rakan taulan yang dekat mahupun yang jauh. Mudah-mudahan medium atau perantaraan yang disediakan ini akan menjalinkan ukhwah persahabatan sesama insan tidak kira yang baru mahupun yang lama. Semoga tautan yang  dianyamkan ini akan kekal seraya dangan memartabatkan hobi basikal klasik ini. Sekian.

Monday, April 28, 2014

Pengalaman Menyertai Kayuhan Le Tour de UPM

Ada ketika dalam fasa hidup ini membuatkan diri kita terasa seperti kembali muda. Terpulang kepada situasi atau suasana persekitaran itu. Boleh jadi suasana tersebut membuatkan kita terasa 5 atau 30 tahun lebih muda bergantung kepada berapa dalam persekitaran tersebut memberi impak dan kesan terhadap jiwa kita. Itulah yang teman alami pada hujung minggu lepas. Bersiar-siar secara santai dalam suasana kampus IPTA membuatkan jiwa raga ini memberontak untuk mengimbau zaman muda-mudi sekitar 7 tahun lepas. Zaman di mana angka empat merupakan angka kecermelangan. Manakala angka 2 atau kurang dari itu melambangkan angka yang seram, ngeri dan menakutkan. Itulah dia CGPA. Itulah dia era universiti. Naik turun, cemerlang gagal, sengsara dan bahagia, semua teman pernah alami ketika berada di era tersebut. Era yang secara umumnya penentu hala tuju kejayaan masa depan anda.

Maka al kisah berakhirlah sudah acara kayuhan Le Tour de UPM pada hari Ahad yang lalu. Kayuhan yang dianjurkan oleh Eco Buddies iaitu sebuah organisasi yang ditubuhkan oleh para pelajar dari ESC4514 fakulti Alam Sekitar. Tujuan aktiviti ini dijalankan adalah bersempena meraikan Hari Bumi yang disambut pada 22 April setiap tahun. Budiman Berbasikal Klasik mewakili warga berbasikal klasik mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat merangkumi pihak panganjur hinggalah ke pihak tajaan. Penghargaan tak terhingga kami ucapkan kerana telah mengundang kami untuk turut serta dalam menjayakan program ini. Ruang dan peluang yang anda berikan kepada kami cukup bermanfaat dan menghiburkan hati kami.

Tak disangka. Tak terbayang. Tak terkata betapa luas dan besarnya keseluruhan kampus UPM itu. Berani teman katakan keluasan kampus UPM adalah lebih 2 kali ganda besarnya dari keseluruhan kawasan Subang Jaya. Janganlah berani masuk jika anda tidak pernah menjejaki tanah ke UPM melainkan ada juru pandunya. Apatah lagi janganlah sekali sekala anda masuk ke UPM keseorangan, pertama kali dan pada waktu malam. Alamatnya potensi anda untuk sesat hingga ke tengah-tengah dusun durian adalah teramat cerah. Tuan punya diri yang menaip nukilan ini pun tidak terkecuali. Awal-awal lagi teman dah silap kerana memasuki kampus dari pintu Lebuh Silikon. Bertawaf jugalah mencari jalan keluar. Mujur dapat terserempak dengan segelintir pelajar di sana yang sudi membantu menunjukkan arah jalan yang benar.

Teman teramat berbesar hati kerana dapat bersua kembali bersama rakan taulan seperjuangan dalam arena basikal klasik ini. Kehadiran kak Aida, suaminya abang Azizan beserta anak comelnya merupakan warga tuan rumah UPM. Abang Zaidie, pakcik Wahid, Sopy dan Syukri Shah dari Team Northport. Saudara Faizal dari Klang serta tidak ketinggalan pak Hussein yang sanggup bertandang jauh dari Banting. Bersahabat dengan pedagang minyak wangi, kita akan dapat tempias baunya. Dapatlah juga teman kiaskan bersahabat dengan warga berbasikal klasik, kita akan dapat aura semangat untuk terus bergiat melestarikan basikal klasik. Cuaca sejuk dan nyaman awal pagi pada masa kayuhan dilepaskan adalah cukup sempurna. Dipadankan pula dengan persekitaran yang serba serbi hijau. Jalan atau laluan kayuhan yang lancar tanpa sebarang gangguan trafik. Inilah impian bagi setiap pengayuh basikal. Untuk pengetahuan, jarak perjalanan kayuhan adalah sekitar kurang lebih tujuh kilometer. Seronok dapat kayuh basikal seiringan dengan adik-adik warga pelajar UPM. Kiri dan kanan pada sepanjang kayuhan dibarisi dengan pelbagai deretan pokok buah-buahan. Nasib baik kebanyakkannya masih tengah berbunga. Jika dah berbuah, alamatnya beg brooks teman dah lama diisi dengan buah-buahan.

Selain dari sesi kayuhan, kami juga diberi peluang untuk bersama-sama memeriahkan aktiviti sampingan kecil seperti cabutan bertuah. Kumpulan berbasikal klasik juga diberi penghormatan untuk membuat sedikit kata-kata aluwan sempena acara ini. Maka tiadalah yang lebih mahir dan berbakat untuk memberi ucapan selain dari puan Aida iaitu isteri kepada encik Azizan. Seorang yang berpengalaman lebih 3 tahun dalam bidang perguruan. Ucapan yang diberikan begitu bernas, mengagumkan dan mempesonakan telinga-telinga yang mendengarnya. Ternyata memang ada potensi untuk menjadi dekan di institusi tersebut. InsyaAllah satu hari nanti kak Aida. Teman ni pula tidaklah seberapa petah untuk memberi ucapan di atas pentas. Tapi jika diberi peluang untuk berbicara dengan menggunakan medium mata peta atau papan kekunci komputer, insyaAllah teman mampu menukilkan pelbagai hasil karya, petikan mahupun gubahan yang berjela-jela panjangnya. Dah sebegitu kecenderongan minat dan hobinya.

Begitulah sedikat sebanyak penyudahan cerita yang berkisarkan pengalaman menyertai kayuhan Le Tour de UPM ini. Salah satu aktiviti riadah berbasikal yang paling teman minati. Tiba-tiba teringin pula nak mendaftarkan diri sebagai penuntut di institusi pengajian UPM. Nampak gayanya kena mengamalkan makan makanan ulam. Bersesuaian dengan pepatah melayu yang membawa erti dapat memperoleh sesuatu yang dihajati iaitu "pucuk dicita ulam mendatang". Akhir pena, semoga bertemu lagi di lain acara. Sekian. 

Sinaran mentari di awal pagi. Membuka ruang pintu rezeki masuk.
Seiringan berkayuh bersama para penuntut UPM. Begitu ceria dan semangat.
Kak Aida dan suami kesayangannya abang Azizan. Perfect couple.
Lokasi beristirehat di Bukit Ekspo. Barisan berbasikal klasik yang mapan dan kukuh.
Bersatu hati mengakrabkan tautan ukhuwah bersama hobi yang dicintai.
Bersama warga pelajar UPM. Meriah, ceria dan puas. Impian terlaksana.
Babak akhir acara kayuhan. Kenangan manis dan ingatan indah kekal abadi selamanya.
Kalau ada sumur di ladang
Boleh saya menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi


Tuesday, April 22, 2014

Kempen Menyokong Kayuhan Le Tour de UPM

 

Sekian lama rasanya diri ini tidak menceburi mana-mana acara kayuhan. Kali terakhir kayuhan rasmi yang disertai adalah pada bulan Februari 2014 di Putrajaya. Selepas pada itu ternyata masa, keadaan dan situasi tidak seberapa mengizinkan untuk menyahut mana-mana undangan program kayuhan. Alhamdulillah apabila waktu sekang dan lapang sudah dikurniakan semula maka tapak tangan ini menerima apa-apa saja undangan acara kayuhan yang sesuai untuk disertai. Kebetulan baru-baru ini disapa pula oleh pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mempelawa bagi menyertai kayuhan santai di sekitar kampus tersebut. 

Program yang diseliakan oleh Eco Buddies UPM ini diberi nama Kayuhan Le Tour de UPM. Ia merupakan program bersempena meraikan sambutan hari bumi "Earth Day". Oleh itu Budiman Berbasikal Klasik memberi sokongan tinggi sekaligus akan menyertai acara kayuhan santai Le Tour De UPM yang akan diadakan pada hari Ahad, 27 April 2014 bertempat di kampus UPM. Ayuh kilat dan gilapkan basikal klasik anda. Bersama kita kayuh dengan penuh gaya di atas basikal berestatika klasik. Jom pakat ramai-ramai sekali sekala kita tukar angin berkayuh sambil bersiar di sekitar suasana kampus IPTA. Mengimbau zaman kegemilangan CGPA. :) 

Monday, April 7, 2014

Memburu Aksesori Basikal Klasik

Pernah tonton Jalan-jalan Cari Makan? Ada masa meleleh air liur melihatkan kenikmatan juadah yang dijamahnya. Ada masa dalam keadaan perut kita sudah kenyang, mendengar lagu tema rancangan tersebut pun boleh buatkan rasa pening lalat. Apa pula kaitannya dengan porkongsian pada kali ini? Tiada kaitan sebenarnya. Saja tangan ini menukilkan apa yang terdetik di buah fikiran. Yang hendak dikongsikan adalah kisah barang atau aksesori basikal klasik yang diburu akhirnya dapat dijerat. Para pembaca sekalian umum ketahui yang kebiasaannya barang-barang yang teman perolehi kebanyakkannya dibeli dari laman Ebay. Tetapi berbeza pula pendekatan yang diusahakan pada kali ini. Semacam ingin menjadi watak Indiana Jones pula. Ingin menjelajah sikit melihat sana sini bagai memburu harta karun purba. Tapi tak ke mana pun kesudahannya. Baru saja ingin melangkah kaki kanan, teman sudah pun menerima sumber maklumat bahawa salah seorang dari sahabat teman ada barang tersebut dan ingin menjualkannya. 

Barang tersebut merupakan sebuah tempat duduk belakang "carrier" untuk basikal klasik. Terdapat sedikit keunikan tentang aksesori ini kerana ia mempunyai ciri tambahan iaitu besi lipat yang boleh menutupi lapisan permukaan tempat duduk. Jika ingin meletakkan bakul atau barang, maka dibukakan lipatan besi sisinya agar permukaannya menjadi lebih lebar. Begitulah sekiranya ada penumpang lalu dilipat semula besi tersebut agar saiz permukaannya lebih sesuai dan selesa untuk diduduki. Agak susah hendak diterangkan ciri praktikalnya. Harap gambar yang dimuat-turunkan dapat menjelaskan fungsinya. Itulah dia pembelian sebuah tempat duduk belakang bagi basikal klasik teman yang bersaiz 26. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan dari segi pencariannya hinggalah urusan jual belinya. Terima kasih sahabatku. Ternyata barang yang ditawarkan ini cukup tinggi nilai estatikanya sepadan dengan tali ukhuwah yang kita anyamkan. Semoga diberkati selalu. 

Akad jual beli insyaAllah 100% menepati dan patuh syariah. Syukran wahai sahabat.
Selesai sudah memasangnya dengan bentuk besi lipatannya dibuka luas. Sesuai untuk meletakkan barang.
Ini pula dengan rupa cara besi sisinya dilipat ke dalam sesuai untuk diduduk dan membawa penumpang.


Berseri teramat sinaran mentari,

Sinaran melantun membawa nikmat,

Basikal klasik senantiasa dilestari,

Hidup bersyukur memohon rahmat.

Wednesday, April 2, 2014

Sepetang Bersama Robin Hood dan Semangkuk Cendol.

Sepetang bersama semangkuk cendol.
Jemput makan kawan-kawan. Ala ringkas saja sekadar membasahkan tekak.
Cendol!! Cendol!! Semangkuk biasa RM1.50. Kalau tambah pulut maka jadilah RM2.50. Mari!! Mari!!. Mengikut aplikasi bacaan cuaca pada telefon mudah alih, ramalan cuaca pada petang tadi adalah lebih kurang 33 darjah celcius. Boleh tahan juga panasnya. Apa lagi, siap ala kadar, pakai topi beret, sarung cermin mata hitam dan akhirnya pikul basikal ke luar rumah lantas terus kayuh menuju ke kedai cendol. Kedai tersebut diberi nama Cendol VIP. Hilang dahaga dan beralas juga perut ni. Lokasinya tidak jauh dari rumah. Jika ingin berjalan kaki agak jauh pula. Jika menaiki kereta terlalu dekat dan tak berbaloi pula. Tetapi dengan berbasikal, teramatlah sesuai dan sedang elok jaraknya. Bak kata bahasa ringkasnya - Memang "ngam".

Apa khabar rakan-rakanku sekalian? Lama sudah tidak kita bercengkerama di hadapan sinaran cahaya monitor komputer. Alhamdulillah, seperti yang diutuskan perkhabarannya sebulan yang lalu untuk beristirehat seketika, akhirnya diberi peluang bernafas dengan selesa untuk bergiat semula dengan hobi basikal klasik yang dicintai ini. Secara tidak langsung artikel yang sedang anda baca ini menjadi pembuka tirai bagi blog Budiman Berbasikal Klasik untuk bulan April 2014. InsyaAllah teman akan kembali aktif serta berusaha untuk mewarnai dunia berbasikal klasik ini dengan pelbagai perkongsian menarik. Nantikan. Kalau nak merasa cendol VIP yang menyelerakan itu, sila-silalah bertandang ke mukim teman. ;)