Wednesday, January 29, 2014
Foto Pilihan Bulan Januari 2014
Berikut adalah pilihan gambar yang terulung bagi bulan Januari 2014. Gambar yang dipilih ini bersempena dengan acara kayuhan dan perarakan majlis sambutan Maulidur Rasul 1435 Hijrah di Putrajaya yang telah diadakan pada tempoh hari yang lalu. Lokasi gambar ini diambil berlatarbelakangkan bangunan Perbadanan Putrajaya bersama halaman persekitarannya di atas hamparan rumput karpet yang empuk, lembut, subur lagi gembur tanahnya. Kalau ikutkan hati, hendak saja teman berbaring sambil bergolek-golek di atas bentangan rumput yang lembut itu ibarat filem romantik hindustan. Tapi pasangannya tidak ada pada ketika itu. Jadi berlunjur kaki sahajalah jawabnya. Begitulah artikel untuk kali ini yang secara langsung menutup tirai bagi edisi bulan Januari 2014. Semoga kita bersua kembali untuk edisi bulan Februari 2014 tidak lama lagi. Selamat berbasikal.
Monday, January 20, 2014
Video Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1435H
Video Acara Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1435H from Budiman Berbasikal Klasik on Vimeo.
Harumnya cintaku bak bunga dahlia
matanya cantik ibarat cahaya pelita
paparan video sudah siap tersedia
marilah tetamuku dipersilakan menjamu mata
Video yang dimaksudkan itu adalah majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1435 Hijrah yang berlangsung di Putrajaya pada tempoh hari yang lalu. Paparan rakaman ini berlangsung sekitar lapan minit lebih. Seperti kebanyakan video Budiman Berbasikal Klasik yang lain, adegan yang disiarkan semestinya merangkumi persiapan sebelum acara kayuhan, paparan semasa perarakan hinggalah selesai acara majlis. Buat kali pertamanya, ini juga merupakan video yang akan diwujudkan tarif jilid iaitu video siri kedua memandangkan video acara ini telah pun disertai dan direncanakan juga pada tahun lepas 2013 dimana video tersebut akan dilabelkan sebagai siri satu. Begitulah seterusnya. Oleh itu selamat menonton dengan paparan ala kadar dari seorang penyunting video yang ringkas seadanya. Jumpa lagi diwaktu terdekat kelak. Sekian.
Thursday, January 16, 2014
Pengalaman Menyertai Acara Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1435H
Salam ceria semua. Al kisah selesai sudah majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1435 Hijrah yang telah diadakan di Putrajaya pada 14 Januari yang lalu. Seramai 100 pemilik basikal klasik telah menyahut undangan untuk menyertai perarakan ini. Perjalanan sepanjang program bagi kumpulan basikal klasik yang diseliakan oleh Kelab Basikal Tua Batu Berendam, Melaka (KBTBB) telah berjalan dengan teratur dan begitu rapi sekali. Terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis yang penuh barakah ini.
Masjid Tuanku Mizan atau lebih sinonim dengan gelaran Masjid Besi menjadi lokasi bagi para peserta basikal klasik untuk bersiap sedia dan berkumpul. Ini merupakan kali kedua teman berpeluang untuk melaksanakan solat Subuh berjemaah di Masjid Besi yang indah kukuh berstrukturkan ramuan besi dan berkonsepkan ruangan terbuka. Suasana dingin di awal pagi yang biasanya tenang bertukar menjadi meriah apabila dapat berjumpa semula dengan rakan taulan seperjuangan. Kehadiran rakan taulan dari Melaka, Negeri Sembilan, Banting, Klang dan sekitar Lembah Klang pasti membuak-buakkan perasaan teruja dan seronok. Ada yang sudah biasa bertemu. Ada juga sahabat handai yang baru pertama kali kenal dan bersua. Begitulah nikmatnya hobi berbasikal klasik ini. Disamping memartabatkan khazanah basikal klasik di peringkat kebangsaan, dapat juga mengeratkan tali persaudaraan dan menambahkan lagi kenalan baru.
Lokasi tapak perarakan yang disediakan adalah sama seperti tahun sebelumnya. Para delegasi ditempatkan di jalan utama berhadapan dengan bangunan mahkamah Putrajaya. Dikhabarkan perarakan pada tahun ini telah disertai lebih 13000 peserta yang merangkumi 151 kontinjen dari pelbagai agensi. Seperti kebiasaan, kumpulan basikal klasik telah mendapat tumpuan utama dari kontinjen lain dan diberi perhatian istimewa dari wakil-wakil media. Belum pun sempat perarakan bermula, kami telah pun menerima kunjungan dari tetamu-tetamu kehormat serta para wartawan. Teman fikirkan kilat sambung menyambung di langit tanda isyarat hendak hujan, rupa-rupanya pancaran lampu dari kamera para wartawan. Perarakan dirasmikan oleh yang berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Setelah menyampaikan ucapan ringkas lantas bermulalah perarakan sekitar jam 7.45 pagi. Maka bergemalah bait-bait selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W di pagi yang indah itu dengan jarak perjalanan berarak menuju ke Masjid Putra adalah sejauh 1.7 kilometer.
Setibanya di perkarangan masjid putra, para peserta basikal klasik menempatkan basikal masing-masing di Dataran Putra yang berlatar belakangkan masjid tersebut. Jika Masjid Tuanku Mizan dikenali dengan masjid besi, Masjid Putra pula lebih sinonim dengan panggilan masjid terapung kerana masjid ini berkedudukan betul-betul di tepi tasik Putrajaya dan sebahagian besar kawasan masjid ini dikelilingi oleh tasik tersebut. Tidak sah jika telah berkumpul ramai-ramai apatah lagi di lokasi pemandangan yang indah kalau tidak diambil gambar. Begitulah gelagat sahabat handai yang tidak melepaskan peluang bergambar dengan pelbagai aksi, sudut dan ragam untuk dijadikan kenangan. Dikesempatan itu juga, ramai orang awam dari kontinjen lain mengunjungi kumpulan basikal klasik untuk melihat lebih dekat akan pengangkutan beroda dua itu. Bersilih ganti orang ramai bertandang termasuk para wartawan yang tidak melepaskan peluang untuk merencanakan kami. Ada yang sekadar ingin mendapatkan maklmat tentang basikal, bergambar bersama basikal malah ada juga yang ingin merasai pengalaman mengayuh basikal tua.
Setibanya di perkarangan masjid putra, para peserta basikal klasik menempatkan basikal masing-masing di Dataran Putra yang berlatar belakangkan masjid tersebut. Jika Masjid Tuanku Mizan dikenali dengan masjid besi, Masjid Putra pula lebih sinonim dengan panggilan masjid terapung kerana masjid ini berkedudukan betul-betul di tepi tasik Putrajaya dan sebahagian besar kawasan masjid ini dikelilingi oleh tasik tersebut. Tidak sah jika telah berkumpul ramai-ramai apatah lagi di lokasi pemandangan yang indah kalau tidak diambil gambar. Begitulah gelagat sahabat handai yang tidak melepaskan peluang bergambar dengan pelbagai aksi, sudut dan ragam untuk dijadikan kenangan. Dikesempatan itu juga, ramai orang awam dari kontinjen lain mengunjungi kumpulan basikal klasik untuk melihat lebih dekat akan pengangkutan beroda dua itu. Bersilih ganti orang ramai bertandang termasuk para wartawan yang tidak melepaskan peluang untuk merencanakan kami. Ada yang sekadar ingin mendapatkan maklmat tentang basikal, bergambar bersama basikal malah ada juga yang ingin merasai pengalaman mengayuh basikal tua.
Setelah meluangkan masa hampir separuh hari di dataran dengan pelbagai aktiviti santai, kami pun berangkat pulang dengan hati riang gembira. Sekadar itulah sahaja nukilan ringkas yang sempat dikongsikan bersama. Satu lagi episod yang berkesudahan dengan penuh gaya dan gilang gemilang. Dari tahun ke tahun perkembangan dunia basikal klasik telah berkembang maju dan mendapat pengiktirafan yang tinggi dari pelbagai pihak. Ini merupakan perkembangan yang sihat bukan sahaja terhadap intipati basikal klasik malah kepada pemilik-pemilik basikal itu sendiri. Semoga impak positif yang diterima ini dapat ditunas seterusnya bersemi ke dalam nilai keintiman persahabatan yang terpaut menerusi hobi berbasikal klasik ini. Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang. Begitulah tingginya ukuran keakraban yang terjalin menerusi penyertaan dari acara ke acara yang disertai. Besar sungguh harapan Budiman Berbasikal Klasik agar medan hobi ini menjadi platfom kepada wujudnya gagasan ukhuwah yang saling bantu membantu, sokong menyokong dan pada masa yang sama melestarikan basikal klasik ke persada dunia. Akhir kalam, salam Maulidur Rasul. Semoga kehidupan kita senantiasa diteladani dan berpandukan sunnah Rasulullah S.A.W. Ameen.
Bersama kumpulan Northport yang sentiasa bersemangat. Gambar sebelum perarakan bermula. |
Semasa perarakan bermula. Mengayuh basikal secara santai sambil berselawat. |
Di pertengahan perjalanan menuju Masjid Putra. Bersaing bersama atuk Anuar Abu dari Negeri Sembilan. |
Dari kanan dengan nama samaran di Facebook: Ujang, Adi, Ajis dan Kuda Kayu. Setibanya di Dataran Putra. |
Adegan bersahaja yang disyaratkan oleh wartawan untuk dipaparkan dalam berita Utusan. |
Bergambar bersama kesemua peserta basikal klasik yang berlatarbelakangkan Masjid Putra. |
Tiga jejaka idaman beserta basikal kesayangan dari Negeri Sembilan, Puchong dan Banting. |
Gambar kenangan bersama saudara Ajis dan Ujang dengan pemandangan tasik sebelum beransur pulang. |
Monday, January 13, 2014
Kempen Menyokong Kayuhan Sempena Majlis Maulidur Rasul 1435H
Sumber Lembaran poster ehsan dari Kelab Basikal Tua Batu Berendam, Melaka |
Alhamdulillah. Program untuk tahun 2014 telah pun membuka tirainya. Budiman Berbasikal Klasik dengan sukacitanya menyokong sekaligus akan menyertai acara kayuhan perarakan sempena Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1435 Hijrah. Ia merupakan kali kedua berturut-turut Budiman Berbasikal Klasik mengikuti perarakan ini semenjak penyertaan pertamanya pada awal tahun 2013. Seperti tahun sebelumnya, perarakan ini akan bermula berhampiran dataran Masjid Tuanku Mizan dan berarak menuju ke Masjid Putra, Putrajaya. Pelbagai delegasi merangkumi badan kementerian kerajaan, badan berkanun serta agensi-agensi lain yang akan turut serta dalam perarakan tersebut. Kumpulan delegasi basikal klasik akan diseliakan di bawah kendalian Kelab Basikal Tua Batu Berendam, Melaka (KBTBB). Ayuh kilat dan gilapkan basikal klasik anda. Marilah kita berkayuh di atas basikal berestetika klasik sambil berselawat memuji junjungan besar Rasulullah S.A.W. Jangan lupa berpakaian baju melayu lengkap bersama sampin dan songkok. Semoga permulaan acara sulung ini akan mendapat keberkatan bagi kelangsungan acara-acara seterusnya sepanjang tahun 2014. InsyaAllah.
Saturday, January 11, 2014
Episod Jejak Kasih: Penutup Separa Rantai Basikal
Alhamdulillah. Inilah rezeki pertama pada awal tahun
2014. Yang kian lama terpisah, akhirnya bertemu juga. Itulah dia penutup
separa rantai basikal untuk Raleigh Chrome teman yang kebelakangan ni
tidak keruan dek kerana aurat rantainya yang selama ni
terdedah dan tidak diliputi. Satu episod jejak kasih yang sebak apatah
lagi penutup rantai tersebut berkondisi baru tapi tersimpan lama (NOS) yang datang jauh
melangkaui lautan pasifik. Hakikatnya memang barang ini sudah lama dicari. (Teman mungkin silap) Tetapi berani teman katakan penutup separa rantai Raleigh Chromium yang berkeadaan NOS ini mungkin hanya tinggal kurang dari 10 unit sahaja di serata dunia ini. Hampir seluruh lubuk carian laman EBAY di serata pelusuk dunia teman selongkar tetapi begitu sukar untuk ditemui. Penat jerih mencari selama empat bulan lebih akhirnya membuahkan hasil apabila terserempak dengan seorang penjual yang selindung nun jauh di hulu benua pasifik. Walaupun harganya dapat diistilahkan "boleh tahan juga". Tetapi apabila penawaran bertemu tepat dengan kehendak, maka itulah dinamakan titik ekonomi sehaluan lagi sepakat. Lantaran itu hampir sempurnalah derajat keayuan Raleigh Boss Bike Chromium teman dengan auratnya dapat diliputi sedikit. Begitulah al kisahnya. Jom kawan-kawan, kita kayuh menuju kejesahteraan. Sekian. ;)
Thursday, January 2, 2014
Menutup Tirai 2013. Membuka Lembaran Baru Tahun 2014
Blog Budiman Berbasikal Klasik dengan sukacitanya merasmikan pembukaan lembaran baru bagi tahun 2014. Terima kasih diatas sokongan dan kunjungan anda ke laman yang tidak seberapa ini. Kepada para pengunjung yang baru sahaja mengenali atau terserempak ke laman ini lalu terpinga-pinga maksud blog ini dikongsikan, maka berikut adalah jawapannya. Blog yang berunsurkan gaya tema santai (free and easy) ini ialah untuk menjadi perantaraan rencana dan liputan serba-serbi mengenai aktiviti riadah berbasikal klasik. Menghimpunkan nukilan-nukilan berdasarkan dari kaca mata pengalaman peribadi dalam menceburi dunia hobi berbasikal klasik. Pendek kata ibarat sebuah diari maya yang khusus berkongsikan topik basikal klasik secara santai dari perspektif buah pena seorang budiman.
Secara kesimpulannya, kronologi Budiman Berbasikal Klasik disepanjang tahun 2013 telah berlayar dengan penuh harmonis lagi teratur. Boleh dikatakan segala objektif dan misi yang dirancangkan pada tahun lepas telah sempurna dikecapi:
- Hasrat untuk mengekalkan sekurang-kurangnya enam pengisian artikel untuk setiap bulan secara puratanya boleh dikatakan 95% terlaksana.
- Impian untuk menyahut penglibatan bagi setiap undangan acara berbasikal berbentuk rasmi atau kecilan secara keseluruhannya 90% tercapai.
Untuk pengetahuan umum, blog ini akan mengekalkan susunan komposisi dan format pengisian yang sedia ada seperti pada tahun 2013. Sekadar sekilas pandang, berikut adalah agihan sasaran topik berdasarkan pengisian yang dikaryakan.
- Aktiviti Berbasikal Klasik:- Nukilan aktiviti harian berbasikal secara riadah mahupun rasmi.
- Kempen Berbasikal Klasik:- Nukilan umum atau am yang melibatkan seruan/galakan berbasikal.
- Video Acara Kayuhan:- Rakaman klip video dari aktiviti acara berbasikal yang disertai.
- Projek Restorasi:- Nukilan tentang baik pulih, naik tarak dan penambahan aksesori basikal.
- Pilihan Bulanan: Jenaka Sketsa Berbasikal:- Sketsa atau komik jenaka berkaitan basikal.
- Pilihan Bulanan: Foto:- Paparan gambar terbaik bersama basikal bagi setiap bulan.
Begitulah sedikit sebanyak kata-kata pendahuluan blog Budiman Berbasikal Klasik sempena memulakan risalah pertama bagi tahun 2014. Diharapkan segala pengisian untuk tahun 2014 ini akan menjadi lebih bermanfaat serta terhibur hendaknya. Teruskan usaha anda semua dalam mengabadikan hobi berbasikal klasik. Selamat berkayuh dan salam tahun baru 2014.
Subscribe to:
Posts (Atom)