Friday, November 29, 2013
Foto Pilihan Bulan November 2013
Sudah lama rasanya blog Budiman Berbasikal Klasik tidak menyiarkan edisi pilihan gambar bulanan. Kali terakhir gambar pilihan disiarkan adalah pada bulan April 2013. Sekadar mengimbau kembali tujuan segmen ini diwujudkan adalah untuk memilih gambar yang unik dan terbaik dari aktiviti yang dijalankan pada bulan tersebut. Oleh itu teman persembahkan kembali segmen ini untuk tatapan umum. Memandangkan sekarang ini telah masuk bulan November 2013, maka gambar di atas dipilih untuk dijadikan gambar pilihan bagi bulan November 2013. Gambar tersebut memaparkan panorama berlatar-belakangkan istana Melaka semasa acara Kayuhan Gabungan 5 Negeri (KG5). Secara tidak langsung berakhirlah sudah karya-karya bagi edisi bulan November 2013. Diharap segala pengisian secara santai ini sedikit sebanyak dapat memberikan inspirasi agar terus aktif dengan hobi berbasikal ini. Semoga bersua kembali di bulan Disember 2013 yang akan memaparkan pelbagai kisah merangkumi acara-acara rasmi kayuhan basikal klasik. Tungguuuu.
Tuesday, November 26, 2013
"Jajan" Aksesori Basikal Di Sana Sini
Pada kebelakangan ini, teman ada melakukan sedikit pembelian aksesori basikal klasik. Akan tetapi teman tidak kesempatan untuk menceritakannya di dalam blog ini. Seperti yang dipaparkan pada gambar di atas, aksesori tersebut merupakan sebuah beg Brooks, loceng Raleigh, pam tangan dan pelekat jenama Raleigh. Kesemua aksesori ini telah diperolehi menerusi dari laman niaga Ebay. Teman akan coretkan secara ringkas akan perihal barang-barang ini sekadar perkongsian kita bersama.
Beg Brooks ini merupakan pembelian yang paling bernilai sekali jika dibandingkan dengan pembelian yang lain. Sekian lama mengidam akhirnya diperolehi juga. Saiz muatannya yang memenuhi citarasa teman untuk digunakan ketika aktiviti berbasikal klasik. Sekadar mengisi keperluan gajet media seperti kamera digital, lensa, bateri sampingan, telefon bimbit dan sebagainya lebih-lebih lagi ketika acara kayuhan rasmi.
Loceng Raleigh Industries pula merupakan pembelian yang paling "rare" atau sukar didapati diantara pembelian yang lain. Nasib menyebelahi teman kerana terserempak dengan iklan loceng ini pada minit-minit terakhir sebelum bidaannya tamat tempoh. Dengan adanya loceng ini dapat juga menyempurnakan aksesori tambahan untuk spesifikasi basikal All Chrome Raleigh teman. Secara tidak langsung melengkapkan lagi ciri-ciri ketulenan pada basikal tersebut.
Pam tangan dan pelekat basikal jenama Raleigh merupakan pembelian yang terkini dan termurah jika dibandingkan dengan kedua-dua aksesori di atas. Memang telah lama teman impikan pam tangan berwarna krom dan berukuran pendek. Geledah punya geledah, hasilnya berbaloi juga pencarian di laman Ebay kerana dapat jumpa pam ini yang masih dalam keadaan baru tetapi stok lama "new old stock". Manakala pelekat basikal pula adalah untuk projek sampingan. Ia sekadar projek pemulihan basikal secara kecilan sahaja. Jangan khuatir. Projek ini akan didedahkan kisahnya tidak lama lagi. Tungguuuuu.
Saturday, November 23, 2013
Operasi G dan K
Sejak kebelakangan ni agak jarang kita hendak menemui terikan cahaya matahari terutamanya pada waktu petang. Saban hari hujan turun membasahi bumi. Kadang-kadang mendung saja menyelubungi langit. Al maklumlah musim hujan telah ditakdirkan fasa waktunya pada setiap hujung tahun di bumi Malaysia yang bertuah ini. Tetapi pada hari ini di kawasan Puchong lain pula iklimnya. Sepanjang hari hingga ke petang matahari memancarkan cahayanya dengan penuh potensi tanpa ada apa-apa halangan dari gugusan-gugusan awan. Menandakan cuaca panas terik mengambil alih pada hari ini.
Justeru itu teman mengambil kesempatan ini dengan melaksanakan operasi "GK". Bukan operasi menjadi goalkeeper ye. Tetapi operasi gilap dan kilat basikal klasik. Tiada apa sangat yang dapat teman mengulas lanjut tentang operasi
tersebut. Sekadar menggosok dan mengelap dengan menggunakan
ramuan-ramuan jamu tertentu bagi menaikkan lagi serinya. Mudah-mudahan akan kekal berpanjangan tampak muda dan kacak memikat. Agak lama juga koleksi basikal teman tidak dibelai dan dimanjai. Dikhuatiri merajuk pula nanti. Bahaya jikalau basikal-basikal ni merajuk. Memujuknya bukan sebarang pujukan. Hanya dari transaksi EBAY saja yang dapat menceriakan mereka kembali. =D
Sekadar itu celoteh ringkas buat tatapan umum di hujung minggu. Sekian.
Sunday, November 17, 2013
Mengurangkan Risiko Kecurian Basikal
Kes kehilangan atau kecurian basikal acap kali didengari dengan purata hampir sekali dalam tiga bulan. Rata-rata kecurian tersebut melibatkan bahagian atau aksesori basikal seperti tempat duduk, roda, dan lampu. Lebih tragis lagi sekiranya keseluruhan basikal tersebut dicuri. Bak kata orang, habuk pun tiada. Mungkin sepuluh tahun lepas kaedah penggunaan kekunci berbentuk U sudah memadai. Tetapi atas beberapa faktor luaran dan mungkin pengaruh negatif yang mudah terkesan pada zaman "just a click away" ini, menyebabkan ciri-ciri kekunci pengangkutan beroda dua digodam dan dirobek dengan begitu mudah sekali.
Disini teman sekadar ingin berkongsikan secara ringkas tentang ilmu yang rata-rata sudah diketahui umum iaitu kaedah-kaedah yang berkesan untuk melindungi basikal anda daripada dicuri. Maklumlah hari minggu yang agak lapang waktunya ini, setidak-tidaknya terluang juga untuk dimanfaatkan bersama rakan taulan. Tips ini tidaklah menjaminkan 100% akan keberkesanannya. Ia setidaknya mungkin boleh mengurangkan risiko daripada dicuri serta memperingatkan kita agar sentiasa peka dan berhati-hati bersama basikal yang tercinta.
- Jangan menguncikan basikal anda pada bahagian basikal yang mudah pasang dan tekap "plug and play". Misalannya menggunakan kekunci basikal pada bahagian roda atau tempat duduk belakang kerana bahagian tersebut mudah dileraikan.
- Jangan biarkan basikal anda (walaupun dikunci) pada tempat yang sunyi, gelap apatah lagi jika tempat itu umum diketahui berisiko tinggi. Ibarat pepatah air yang tenang jangan disangka tiada buaya.
- Jangan kunci basikal anda pada objek yang mudah dilerai, dipisah atau diangkut sekali. Sebagai contohnya mengunci basikal pada batang tiang tanda jalan atau pokok kecil.
- Disyorkan sebaik-baiknya pasanglah lebih dari satu kekunci pada basikal anda. Laburkan sedikit duit dengan membeli sekurang-kurangnya dua jenis kekunci yang berkualiti tinggi. Dicadangkan juga agar anda dapatkan dua kekunci yang mempunyai mekanisma kunci yang berbeza diantara satu sama lain. Misalannya satu menggunakan kombinasi nombor rambang dan satu lagi menggunakan kunci biasa.
- Disyorkan kunci basikal anda pada lokasi yang terang, tidak sunyi dan menjadi tempat tumpuan orang ramai lalu-lalang. Jika ada balai polis yang berdekatan, letakkan saja basikal anda di tepi pintu masuk pejabat polis tersebut. Anda pasti akan mencapai tahap ketenangan yang tinggi.
- Disyorkan jika anda menguncikan basikal pada objek lain, pastikan objek tersebut kukuh, sukar diceraikan dan tidak mudah dialihkan. Contohnya mengunci pada batang tiang telekom atau pada pokok durian yang telah berusia 15 tahun.
Berakit-rakit ke hulu,
Berenang-renang ke tepian,
Bersakit-sakit dahulu,
Bersenang-senang kemudian.
Sunday, November 3, 2013
Sketsa Jenaka Bulan November 2013
Budiman Berbasikal Klasik dengan sukacitanya memyelak tirai seluas-luasnya bagi meraikan edisi bulan November 2013. Sebagai mukadimah bagi rencana yang pertama ini, teman perkongsikan sketsa jenaka seperti yang dimuat-turunkan. Gambar di atas sekadar analogi kepada keadaan suasana semasa bukan setakat menyelubungi di tanah air kita malah di serata pelusuk dunia. Ia semata-mata hanya paparan metafora sahaja terhadap situasi berkenaan. Tidak dinafikan kuasa pembelian wang makin hari makin kurang daya kuasanya. Diantara impaknya yang begitu terasa ialah kenaikan harga petrol. Ia boleh diibaratkan seperti penyakit demam campak. Sekali naik, segala rangkaian yang berkaitan dengannya mahupun tidak akan turut sama naik. Walaupun kapasiti wang belanja atau duit saku menurun, kita masih mempunyai seribu satu cara untuk menangani atau setidak-tidaknya mengimbangi kondisi tersebut.
Ingatlah bahawasanya kita masih mempunyai potensi akal dan daya upaya untuk melakukan yang terbaik. Bertepatan, selaras lagi sejajar dengan objektif blog ini ditubuhkan, marilah kita amalkan budaya berbasikal secara aktif dan konsisten. Jika sebelum ini kita menaiki kenderaan berpetrol untuk ke kedai runcit, pergi masjid atau surau, hantar anak sekolah atau tusyen dan sewaktu dengannya. Mungkin jarak untuk setiap destinasi tersebut kurang lebih 500 meter ke 1500 meter. Maka secara teorinya masih sesuai dan berpatutan untuk berbasikal. Pokok sifirnya mudah sahaja, berbasikal lah sepraktikal dan semanfaatnya yang mungkin tidak kira apa jua jenis basikal yang digunakan. Klasik, moden, terkini mahupun yang kompleks.
Ingatlah bahawasanya kita masih mempunyai potensi akal dan daya upaya untuk melakukan yang terbaik. Bertepatan, selaras lagi sejajar dengan objektif blog ini ditubuhkan, marilah kita amalkan budaya berbasikal secara aktif dan konsisten. Jika sebelum ini kita menaiki kenderaan berpetrol untuk ke kedai runcit, pergi masjid atau surau, hantar anak sekolah atau tusyen dan sewaktu dengannya. Mungkin jarak untuk setiap destinasi tersebut kurang lebih 500 meter ke 1500 meter. Maka secara teorinya masih sesuai dan berpatutan untuk berbasikal. Pokok sifirnya mudah sahaja, berbasikal lah sepraktikal dan semanfaatnya yang mungkin tidak kira apa jua jenis basikal yang digunakan. Klasik, moden, terkini mahupun yang kompleks.
Oleh itu, pengisian bagi bulan ini akan mengetengahkan kepelbagaian topik yang akan menyentuh aspek keselamatan berkaitan basikal. Dikesempatan ini juga teman ingin mengucapkan salam maal hijrah dan selamat maju jaya kepada mereka yang akan menjalani peperiksaan SPM. Sekian.
Subscribe to:
Posts (Atom)