Friday, December 21, 2012
Basikal Klasik Dan Jalanraya Berlubang
Berhati-hati ketika berbasikal. Apatah lagi berbasikal dalam iklim cuaca selepas hujan. Lubang atau bahasa ringkas orang kampung ialah lopak memang sudah serasi dengan jalan raya. Tidak kiralah di negeri hatta di negara mana sekali pun. Seperti adik-beradik. (Bukan semua) tetapi hampir tidak dinamakan jalan raya kalau tiada lubang yang mencoraknya.
Beringat sebelum kena. Itulah sahaja yang teman ingin sampaikan kerana hal seperti ini telah timpa pada diri yang menulis ini. Berbasikal selepas usai hujan lebat. Rata-rata permukaan jalanraya mencorakkan tompok-tompok takungan air. Ada yang berbentuk kolam renang olimpik. Tidak kurang juga yang berbentuk seperti tasik cini. Sangkaan teman mungkin hanya struktur jalan yang lendai, berlekuk sedikit atau tidak rata.
Apabila meyusuri di pertengahan takungan yang tenang itu, tiba-tiba bagaikan ada sesuatu momentum yang mengangkat tinggi tayar belakang. Justeru mengikut ilmu fizik bahagian depan pun akan berganjak menurun ke depan seolah-olah brek mengejut. Rupanya-rupanya
tayar hadapan telah terkena jerangkap lubang yang luas diameter seperti
tayar bersaiz 14 dengan kedalaman lubang 7 inci umpama setinggi ukuran lampu cabait
lucas. Nasib baik pada saat itu teman tidak mengayuh laju dan sempat mendaratkan kedua-dua kaki ke atas jalan bagi mengimbangi basikal dan mengelakkan dari jatuh tersungkur seperti contoh gambar hiasan di atas.
Mujur semua selamat dan tiada kerosakkan pada bahagian basikal mahupun diri tuan punya basikal. Kaget juga dibuatnya. Walau apa pun rintangan ayuh teruskan melestari berbasikal klasik.
Sunday, December 16, 2012
Fesyen Berbasikal Klasik: Topi Beret (flap cap)
Bulan Disember selalunya dikaitkan dengan musim cuti sekolah. Bagi sesetengah masyarakat, bulan akhir tahun ini juga boleh dianggapkan sebagai musim harga runtuh (big sale) untuk membeli-belah. Dikesempatan itulah teman telah membuat sedikit pembelian iaitu topi beret (flat cap) seperti corak dan warna di bawah ini. Dibeli menerusi laman web ebay dengan harga yang begitu berpatutan. Begitu menambat hati teman untuk memilikinya dan sekadar mempelbagaikan lagi skop fesyen peragaan pakaian untuk berbasikal klasik. Secara tersirat menjadi daya tarikan yang positif terhadap tanggapan berbasikal klasik yang beraneka konsep.
Tuesday, December 11, 2012
Kayuhan Klang Dipaparan Dada Akhbar
Tahniah dan syabas diatas kelangsungan acara kayuhan santai berbasikal klasik Bandar Diraja Klang. Acara yang sangat meriah itu telah pun diberitakan dalam beberapa dada akhbar. Antara yang dikenalpasti adalah surat khabar Sinar Harian bertarikh 5 Disember dan Harian Metro bertarikh 10 Disember. Walaupun acara tersebut sudah tamat selang beberapa hari yang lalu,
pengalaman menyertainya membawa kenangan manis yang tidak mudah untuk dilupakan. Begitu sesuai bagi menutup tirai tahun 2012. Dengan itu, teruskan semangat anda memartabatkan hobi berbasikal klasik.
Sumber ehsan dari laman FB Along. Sila klik untuk paparan lebih jelas dan besar.
Thursday, December 6, 2012
Video Kayuhan Santai Basikal Klasik Bandar Diraja Klang
Ya seperti yang telah dijanjikan. Video kayuhan santai basikal klasik sekitar Bandar DiRaja Klang telah dipaparkan seperti yang tertera pada klip di atas. Setelah beberapa hari laman blogspot menghadapi masalah teknikal dalam memasukkan video, akhirnya berjaya juga untuk dimuat-turunkan. Disebabkan blogspot menghadkan kapasiti bagi video hanya boleh dipaparkan dalam saiz dan dan fail yang kecil, maka video ini juga terpaksa dikurangkan kualitinya. Klip video ini berlangsung sekitar 3 minit lebih dan memaparkan babak-babak aksi berbasikal secara konvoi di sekeliling Bandar DiRaja Klang. Selamat menonton untuk kenangan bersama dan teruskan kegemilangan anda berbasikal klasik.
Monday, December 3, 2012
Pengalaman Kayuhan Santai Bandar DiRaja Klang
Tanggal 2 Disember 2012. Luangan hari minggu yang diisi dengan aktiviti yang sungguh menarik. Seperti para pengunjung budiman ketahui, hari ini adalah hari acara kayuhan santai basikal klasik ke Bandar DiRaja Klang. Acara yang dianjurkan oleh Port Swettenham Classic Bicycle telah berjalan dengan amat jayanya sekali. Sebagai kata utama dalam perenggan pertama ini, teman dedikasikan khas untuk pihak penganjur sama ada secara langsung atau tidak, dengan ucapan terima kasih serta tahniah diatas program julung kali yang begitu sempurna dan tiada cacat celanya.
Jam 8.10 pagi berlabuhnya teman di Pandamaran, Klang. Ketibaan teman ditegur sapa oleh sahabat-sahabat seperjuangan. Tidak lupa juga rakan-rakan baru yang mengecam atau mengenali teman terlebih dahulu menerusi laman blog ini. Sarapan ringan pun disediakan oleh pihak penganjur. Beralas juga perut teman walaupun tak sempat nak jamah sebelum berangkat ke mari. Sebagai permulaan aktiviti, sesi taklimat oleh penganjur dan ucapan kata-kata aluan disampaikan oleh yang dipertua MPK. Selanjutnya sesi yang sememangnya wajib dilakukan sebelum kayuhan bermula, iaitu sesi bergambar.
Maka bermulalah babak aksi kayuhan santai basikal klasik. Inilah acara kayuhan yang paling jauh pernah teman lakukan. Inilah juga acara berbasikal yang paling selamat, paling teratur, paling terancang dan paling sistematik pernah teman lalui. Dikawal oleh polis trafik sepanjang lalu lintas. Dipantau juga oleh pihak berkuasa MPK. Dibantu juga oleh ahli-ahli sukarelawan dari kelab penganjur. Memang tidak syak lagi. Sungguh santai kayuhan kami bersama rakan taulan. Sungguh bersahaja dan tenang kayuhan kami dengan lanskap dan struktur binaan yang indah lagi mengasyikkan.
Alkisah diringkaskan cerita, perjalanan berbasikal pergi dan balik berjalan dengan lancar dan selamat. Selesai sahaja acara konvoi berbasikal, sesi bebas, rehat sambil makan pun bermula. Pasti tidak syak lagi. Menu yang disajikan tidak lain dan tidak bukan - nasi lemak along sambal kayu api. Memang sedap. Sambil makan dan berbual-bual sesama para pencinta basikal klasik. Teman begitu teruja melihatkan setiap mirip wajah yang ada di sekeliling pada waktu itu. Ada yang telah berusia, ada yang sekecil peringkat sekolah rendah. Pelbagai perwatakkan yang teman lihat masing-masing selesa bercampur gaul antara satu sama lain.
Inilah semangat dan aura berbasikal klasik yang teman ingin lihat agar ia akan berpanjangan, berlanjutan dan berkonsisten di setiap pelusuk negeri. Beriringan dengan tema blog ini yang memberi sokongan penuh kepada kempen aktiviti berbasikal. Bertepatan juga dengan ideologi blog ini yang bukan saja menyokong gerakkan untuk berbasikal, malah berbasikal klasik berserta tingkah gaya yang penuh energi, berterampilan lagi berbudiman. Maka inilah sahaja laporan ringkas lagi tidak rasmi dari teman bagi acara ini. Moga kita berjumpa di acara kayuhan lain pula. Esok teman akan muat-turunkan video babak kayuhan pula. Tungguuuuuuuu.
Saturday, December 1, 2012
Persiapan Terakhir Sebelum Kayuhan Bandar DiRaja Klang
Bulan Disember pun sudah menjelang tiba. Pengisian pertama untuk bulan terakhir dalam tahun 2012 ini, teman kongsikan paparan mengenai persiapan untuk acara kayuhan ke Bandar Diraja Klang pada esok hari. Seperti paparan gambar di bawah, basikal teman telah pun selesai dimasukkan ke dalam kenderaan. Esok awal pagi akan bertolak ke Klang. Nantikan laporan tidak rasmi dari teman selepas usai acaranya nanti. Tungguuuuuu.
Subscribe to:
Posts (Atom)